130 projek RTP telah dilaksanakan di DUN Jemoreng

0
5

KUCHING: Selama 18 tahun, Kerajaan Sarawak telah mendapat sijil bersih audit sebagai tanda keberkesanan urus tadbir kewangan yang baik di Malaysia.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Datuk Murshid Di Raja Dr Juanda Jaya, pengiktirafan ini membuktikan bahawa dakwaan pemimpin pembangkang yang mengatakan Sarawak akan bankrap adalah tohmahan palsu dan bertujuan menipu rakyat.

“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Datuk Patinggi Abang Johari akan menguruskan negeri ini dengan baik, menggunakan wang amanah rakyat secara berhemah dan memastikan negeri ini terus maju ke hadapan pada tahun 2030.

“Sudah jelas dan pasti, sejak Abang Johari memerintah negeri ini 3 tahun yang lalu, Sarawak terus maju dan tidak bankrap.

“Yang bankrap ialah pembangkang yang sudah bankrap idea dan hilang akal untuk menipu rakyat. Yang mereka tahu ialah persepsi palsu dan tuduhan yang jahat.

“Negeri ini sudah 18 tahun dapat sijil bersih audit, maka apa lagi yang pembangkanng mahu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan usul Belanjawan 2021 Sarawak dalam Persidangan Hari Keempat Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke 18 pada Khamis.

Mengenai pembangunan di kawasan DUN Jemoreng, jelas Datuk Murshid Di Raja Dr Juanda lagi, sebanyak 130 Projek Program Pembangunan Transformasi Luar Bandar (RTP) dalam tempoh lima tahun dari 2016 hingga 2020.

“Bagi Projek Kerajaan GPS di kawasan DUN Jemoreng, Alhamdulillah terlalu banyak limpahan projek kerajaan telah diturunkan bagi membawa manfaat kepada rakyat.

“Ada yang telah siap, sedang dalam pelaksanaan dan banyak lagi yang sedang dalam perancangan setelah mendapat kelulusan Ketua Menteri.

“Untuk Projek RTP ADUN sahaja sejak 2016, 2017, 2018, 2019 dan 2020, sebanyak 130 projek telah dijalankan,” ujarnya.

Selain Projek RTP, DUN Jemoreng turut mendapat peruntukkan dalam melaksanakan beberapa projek lain seperti Projek Pembaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) dan beberapa Projek Rakyat yang berskala besar.