KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata jika gaji menteri dipotong sebanyak 30 peratus, beliau yakin mereka tidak akan kebuluran.

“Dalam zaman Covid-19, saya tak fikir Menteri akan kebuluran kerana dikurangkan gaji 30 peratus. Sebaliknya terdapat ramai yang tidak ada pendapatan sama sekali kerana tidak bekerja atau berniaga lagi,” kata Presiden Pejuang itu ketika membahaskan Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021, di Dewan Rakyat hari ini. “Dan bagi mereka keluarga akan turut menderita. Mungkin tidak 30 peratus. Mungkin hanya 10 peratus,” katanya lagi.

“Biasanya di penghujung ucapan belanjawan akan disebut cukai yang akan diperkenal untuk membiayai sebahagian daripada kos belanjawan. Tetapi kali ini tidak ada cukai baharu yang akan dipikul oleh rakyat.

Jelasnya,  dalam masa wabak Covid-19 ekonomi sudah merosot teruk. 

“Tentulah pendapatan Kerajaan juga merosot,” ujarnya seperti dilapor Astro Awani.

“Belanjawan ini tentulah alami defisit. Tetapi Kerajaan seolah tidak ambil berat defisit ini. Tak cukup duit, terpaksalah Kerajaan hutang. Jumlah hutang Kerajaan akan meningkat kepada RM1.3 trilion. Jikalau kita hutang untuk bayar hutang, ia tidak akan mengurang jumlah hutang,” katanya lagi.