KUCHING: Sarawak Energy dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) telah menjalinkan kerjasama menerusi Perjanjian Persefahaman (MoU) untuk menerokai pengeluaran komersial hidrogen hijau dan rantaian bekalannya di Asia.
Dalam kenyataan media bersama Sarawak Energy dan PETRONAS, MoU itu menandakan usaha penting Sarawak untuk meningkatkan dan menceburkan diri dalam mengeksport hidrogen sebagai tenaga bagi memenuhi permintaan tenaga bersih global dan meletakkan sarawak sebagai pusat pengeluaran hidrogen terkemuka di Asia.
Menerusi perjanjian persefahaman kedua-dua syarikat tenaga terkemuka negara ini akan memulakan penilaian tekno-komersial bersama kemudahan pengeluaran hidrogen berskala besar.
Penilaian ini merangkumi menggunakan tenaga hidro yang boleh diperbaharui Sarawak dalam proses elektrolisis untuk menghasilkan hidrogen hijau dan menghasilkan tenaga yang boleh diperbaharui untuk menyokong pasaran tenaga boleh diperbaharui.
Perkongsian data dari kolaborasi ini juga diharapkan dapat memberikan ukuran dan pandangan mengenai potensi rantai bekalan hidrogen di Asia.
Majlis menandatangani MoU itu telah disaksikan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Selasa.