KUCHING: Bajet Sarawak 2021 menyediakan pelan tindakan strategik yang menyeluruh ke arah mendukung matlamat menjadi Sarawak sebagai negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030, dengan impak positifnya bakal dinikmati segenap lapisan anak Sarawak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata dengan mewujudkan persekitaran ekonomi yang mampan dan positif di peringkat negeri, sudah pasti ia menyumbang kepada usaha pemulihan serta pengukuhan ekonomi di peringkat nasional.

“Ia turut meletakkan Sarawak di landasan tepat untuk terus menarik pelaburan antarabangsa selain meningkatkan keyakinan institusi kewangan
asing terbabit dalam pembangunan pelbagai sektor industri.

“Ini termasuk meneroka pelbagai peluang ekonomi baharu dalam mendukung usaha pemulihan dan kelestarian ekonomi yang mampu memberi banyak manfaat kepada Bumi Kenyalang pada masa depan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Alexander yang juga Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut menyifatkan Bajet Sarawak 2021 cukup jelas memperlihatkan kesesuaiannya dengan situasi semasa khusus dalam mendepani isu berkaitan dan kewujudan keperluan luar biasa susulan penularan pandemik
Covid-19.

Beliau menambah lebihan belanjawan (surplus) dalam bajet ini juga membuktikan amalan sistem pengurusan kewangan yang baik yang jelas memperlihatkan persiapan rapi menghadapi fasa pasca-Covid-19.