KUCHING: Kerajaan Sarawak diminta untuk mempertimbangkan permohonan menyediakan lot perumahan bagi 3,000 keluarga baharu di Penempatan Semula Bakun (BRS) Sungai Asap.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Murum Kennedy Chuk Pai Ugon berkata ini adalah untuk mengatasi masalah pertambahan penduduk dari 15 buah rumah panjang di kawasan tersebut.

“Untuk makluman, saya telah mengemukakan permohonan ini kepada kerajaan negeri dan berharap ia dapat dipertimbangkan dalam kadar segera demi kesejahteraan rakyat.

“Selain itu saya memohon supaya kerajaan menyediakan peruntukan khas untuk membaik pulih rumah-rumah kediaman bagi 15 buah kampung di BRS Sungai Asap yang kini kian uzur dan perlu segera diperbaiki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Bajet Sarawak 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau turut menyambut baik pembentangan belanjawan negeri oleh Ketua Menteri yang mana daripada keseluruhan perbelanjaan pembangunan RM6.304 bilion, 67 peratus atau RM4.251 bilion digunakan untuk merangsang dan mempercepatkan pembangunan di luar bandar.

Di bawah Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) yang melibatkan kawasan Murum, beberapa projek pembangunan termasuk kemudahan asas telah dilaksanakan dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Walaubagaimanapun, masih terdapat beberapa kawasan di sini yang belum menikmati kemudahan asas seperti Jelalong Tubau, Sungai Asap, Sungai Belaga, Long Urun, Metalun, Tegulang dan Sungai Linau kerana Dun Murum sangat luas.

“Justeru, saya berharap agar kerajaan menyalurkan peruntukan khas secukupnya untuk kawasan saya ini melalui URDA bagi melaksanakan projek-projek kemudahan asas demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.