Tengku Datuk Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz bukan ahli politik. Menteri Kewangan yang dilantik sebagai Senator ini ialah seorang ahli korporat, pegawai bank dan pelabur. Beliau bukan calang-calang tokoh. Kelayakan dan latar belakang kerjayanya begitu luar biasa dan mengagumkan. Berada di tangga teratas sebagai ketua, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di lebih sepuluh syarikat ternama.

Malah, beliau meraih beberapa pengiktirafan terkemuka termasuk Asean CEO Award oleh Technology Business Review, Malaysia Business Leadership Award, Most Promising Enterpreneurship Awards, Malaysian Business Award, Masterclass CEO of the Year, dan Best CEO for Investor Relations.

Sebelum dilantik sebagai Menteri Kewangan pada Mac lalu dalam Kabinet Perikatan Nasional, beliau ialah Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Berhad.

Mereka yang pernah menonton ntv7 suatu ketika dahulu tentu dapat mengimbas kembali wajah anak muda yang muncul dalam program realiti TV ketika itu.

Tengku Zafrul merupakan salah seorang daripada hakim program realiti TV, The Firm. Sebagai antara hakim bertaraf jutawan, tidak syak lagi beliau ialah antara selebriti korporat ketika itu. Malah, beliau juga pernah muncul dalam iklan untuk Tune Money.

Tengku Zafrul dilahirkan pada 1973, dan anak sulung daripada empat adik-beradik. Ibunya ialah bekas Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi. Lulusan Sarjana dalam bidang Kewangan dan Pengurusan dari University of Exeter, United Kingdom ini turut memperoleh ijazah sarjana keduanya dalam Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Tsinghua University Peoples’ Bank of China School of Finance, institusi pendidikan kewangan berkelas dunia.

Pada usia muda, Tengku Zafrul berminat dalam hoki dan kegiatan riadah lain.
Ketika menuntut di University of Bristol, difahamkan beliau mengayuh basikal ke universiti berkenaan. Hingga kini, beliau suka mengayuh basikal, berlari dan berenang.

Tidak hairanlah ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada Jumaat, beliau yang berusia 47 tahun itu kelihatan bertenaga dan dinamik. Malah, beliau berjaya menyampaikan ucapan belanjawan bersejarah negara itu dengan lancar, pantas, dan meyakinkan.

Yang mungkin dapat menyaingi beliau dari segi pembentangan ialah bekas Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terkenal dengan kosa kata baharu dan ungkapan menarik dan sering menjadi ikutan kemudiannya.

Ingat, bukan mudah untuk membentangkan belanjawan setebal 108 halaman sepanjang 248 perenggan. Belanjawan itu disampaikan dalam tempoh sekitar dua jam. Kalaulah Menteri Kewangan lain sebelum ini yang membentangkannya, saya kira masa yang diambil untuk menghabiskannya tentu lebih lama.

Yang menarik, Belanjawan 2021 bukannya bajet dari kayangan atau dirumus berdasarkan input pegawai tinggi dan anggota kabinet di Putrajaya semata-mata. Sebaliknya, sejak Julai lalu, pelbagai sesi libat urus diadakan di seluruh negara. Sebanyak 38 sesi libat urus berlangsung, mengikutsertakan 40 sektor utama, melibatkan 2,000 individu, pemegang taruh, pemain industri, pemimpin politik dan sebagainya.

Seyogia diingat, untuk pertama kali, pemimpin pembangkang daripada Pakatan Harapan turut diundang menyampaikan pandangan dan cadangan. Tujuannya, bagi memastikan Belanjawan 2021 benar-benar menepati kehendak dan aspirasi rakyat serta pemimpin politik daripada pelbagai latar belakang ideologi dan kaum. Memang tidak ada belanjawan yang serba sempurna dan tidak mungkin semua cadangan, termasuk daripada blok pembangkang dimasukkan.

Gaya bahasa dan penyampaian Tengku Zafrul tentu tidak sama dengan gaya Anwar. Saya tertarik dengan gaya penyampaian bersahaja beliau dan bahasa yang digunakan dalam teks ucapan berkenaan. Bahasa dalam teks ucapan belanjawan walaupun mempunyai angka tidak harus membebankan.

Sebaliknya, bahasa yang digunakan perlu mudah, jelas dan menarik. Beliau faham akan hakikat betapa ucapan belanjawan berkenaan adalah ditujukan kepada rakyat pelbagai peringkat, termasuk nelayan dan petani di pesisiran dan pedalaman, kumpulan OKU, penganggur, suri rumah, belia, pelajar, peneroka dan banyak lagi. Dengan senyuman dan sekali-sekala meneguk air ketika menyampaikan ucapan yang panjang itu, Menteri Kewangan itu, mampu memikat khalayak.

Bahagian akhir ucapan itu memikat dari segi bahasa. Ungkapan dan ayat dalam perenggan hujung begitu memikat. Menyedari pentingnya elemen pathos — strategi memikat dan mempengaruhi khalayak dengan membangkitkan unsur emosi, beliau kelihatan begitu teliti dalam melakarkan bahasa.

Kata beliau: “Kita perlu bersyukur, kita masih menggagahi semua ini. Kuatnya negara ini adalah kerana rakyatnya tabah berkorban membenteng negara. Maka sebab itu, bagi kerajaan, nurani rakyat mesti didakap erat, kerana kepercayaan rakyat mahal…maharnya.”

“Saya punya sebuah kepercayaan. Betapa bangsa Malaysia ialah bangsa yang berani, bangsa yang kuat, yang bila sepakat kita mampu melakukan yang luar biasa. Atas hakikat itulah Belanjawan 2021 ini mengangkat sebagai tema ‘Teguh Kita, Menang Bersama.”

Dalam ayat berkenaan, beliau menggunakan teknik pengulangan, personifikasi dan metafora, strategi dan teknik retorik ucapan yang banyak digunakan oleh pemidato hebat dunia.

Malah, beliau menggunakan kata-kata puitis dalam bentuk rangkap pantun sebelum mengakhiri belanjawan yang disifatkan sebagai inklusif, menyeluruh dan berpaksikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

Sesuai dengan tema dan seruan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, beliau mengungkapkan “Belanjawan ini dijulang menjadi kanun saksi perpaduan kita demi rakyat.”

Justeru, dalam mendepani ancaman dan cabaran pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan negara, semua pihak perlu bersatu padu. Bersatu teguh bercerai roboh.

Ingat, Malaysia kini berada di tangga ke-86 dunia dari segi jumlah kes. Menurut angka Worldometers, setakat pagi semalam, sudah terdapat 38,189 kes jangkitan, termasuk 1,755 kes terbaharu — yang tertinggi setakat ini. Juga, sudah terdapat 279 kes kematian sejak virus maut itu melanda negara Februari lalu.

Untuk itu, sekitar 33 juta rakyat Malaysia tentu mengharapkan, semua pihak memberi sokongan terhadap Belanjawan 2021. Ini bukan waktu untuk berbalah dan mencetuskan konflik sehingga menyebabkan ketidakstabilan politik berlalu.

Justeru, rakyat mengharapkan ahli parlimen, termasuk daripada blok pembangkang menyokong belanjawan ini bagi memastikan kita dapat menangani dan mengharungi krisis kesihatan dan ekonomi ketika ini. Rakyat sudah cukup menderita dengan ada yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan.

Ahli parlimen perlu menggunakan kearifan, kebijksanaan dan menggunakan hati nurani mereka untuk membuat keputusan dan pendirian yang dilihat mengutamakan rakyat. Dan bukannya hanya mementingkan kepentingan diri, kuasa dan politik. Ini bukan masa untuk bermain politik.

Sesungguhnya, selain daripada mencatatkan sejarah sebagai belanjawan terbesar dalam sejarah dengan peruntukan RM322.5 bilion, belanjawan ini diharap dapat membawa kesan positif yang berganda kepada rakyat dan ekonomi negara.

Belanjawan ini seharusnya mampu untuk meringankan penderitaan dan kesengsaraan rakyat yang terpukul teruk oleh bahana Covid-19. Kita berdoa, agar Covid-19 segera berlalu dan penawarnya ditemui secepat mungkin.

Kita perlu keluar daripada hari-hari gelap dan tidak menentu ini agar kita dapat hidup kembali normal dan bukannya terus terbelenggu dalam kelaziman baharu yang meresahkan.

Belanjawan 2021 seharusnya menjadi penawar ekonomi yang mujarab dan penawar derita negara dan rakyat untuk tahun 2021.