KUCHING: Satu daripada aspek yang menarik perhatian dalam Belanjawan Negeri Sarawak 2021 ialah skim bantuan sewa untuk penyewa rumah di bandar utama di Sarawak.

Skim baharu itu bertujuan untuk membantu meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh golongan berpendapatan rendah.

Ketua Menteri berkata, skim berkenaan akan mengurangkan kos sara hidup dan membantu golongan miskin bandar.

Menurut Datuk patinggi Abang Johari Tun Openg, pemohon yang layak daripada kumpulan berpendapatan rendah akan menerima bantuan sewa RM200 sebulan hingga tempoh maksimum 36 bulan.

“Sejumlah RM48 juta akan diperuntukkan di bawah belanjawan ini yang akan memberi manfaat kepada 20,000 isi rumah yang layak,” katanya.

Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi berkata demikian dalam ucapan pembentangan Belanjawan Sarawak 2021 di DUN, di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Sarawak komited menyediakan penempatan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui  skim rumah mampu milik dengan kemudahan yang baik.

Jelasnya, Skim Pembesaran Kampung dan Skim Penempatan Semula diperkenalkan untuk mengurangkan kesesakan di kampung tradisi dengan menyediakan lot kediaman.