KUCHING: Sektor pelancongan dan pembuatan antara  terjejas teruk di negeri ini susulan ancaman pandemik Covid-19, kata Ketua Menteri.

Menurut Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, penurunan dalam sektor  pelancongan turut mendatangkan kesan kepada sektor perkhidmatan lain. 

Antara yang terjejas  ialah pengangkutan dan logistik, hotel dan penginapan, dagangan borong dan runcit termasuk industri makanan dan minuman. 

“Bagi sembilan bulan pertama 2020, kedatangan pelawat menguncup 64.1 peratus berikutan sekatan perjalanan dan penutupan sempadan antarabangsa. 

“Sektor perkhidmatan dijangka merekodkan pertumbuhan negatif 1.4 peratus pada 2020 dan  kita menjangkakan industri pelancongan akan mengambil masa untuk pulih sepenuhnya,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sarawak 2021 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Manakala bagi sektor pembuatan pula, Abang Johari  yang juga Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi berkata,   dijangka menguncup 6.9 peratus pada tahun 2020 berikutan gangguan aktiviti pengeluaran sepanjang rantaian bekalan global. 

Lagipun, katanya, firma dikekang beroperasi pada keupayaan  terhad terutama ketika tiga bulan pertama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Bagi sektor perlombongan, pertumbuhan dijangka menguncup 2.9 peratus pada 2020 dikaitkan dengan pengeluaran rendah minyak mentah dan gas asli. 

“Aktiviti dalam sektor pembinaan juga terganggu kerana hampir semua aktiviti berhenti semasa PKP.  Banyak firma dan kontraktor bergelut untuk patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19,” ujarnya.