KUCHING: Sejumlah RM140.3 juta akan disediakan untuk melaksanakan inisiatif strategik mempergiatkan Program Perindustrian Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sejumlah RM88.3 juta diperuntukkan untuk membangun taman perindustrian dan permis perniagaan bagi menarik Pelaburan Langsung Asing(FDI) dan Pelaburan Langsung Domestik(DDI).

“Antara projek yang bakal dilaksanakan adalah memperluaskan Taman Perindustrian Demak Laut, kluster UKM Samalaju, kawasan perindustrian Sibu, Sematan, Betong, Sri Aman, Bau, Marudi, dan Rantau Panjang, Sibu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet Sarawak 2021 semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini, semalam.

Tambah beliau, Inisiatif berjumlah RM18 juta untuk Program Pembangunan Keusahawanan dengan menambah baik Hab Inovasi yang telah menguntungkan lebih daripada 500,000 orang usahawan dan invator.

Selain itu, sejumlah RM10 juta turut dicadangkan untuk tahun 2021 bagi melaksanakan Pakej Digitalisasi PKS yang memberi keuntungan kepada 1,000 orang usahawan tempatan.

Menurut Abang Johari, Kerajaan Negeri juga akan terus membina Anjung Usahawan baru di bahagian lain termasuk Telok Melano, Gedong, Limbang, dan Lawas dengan peruntukan RM19.2 juta.

“Bagi Skim Kredit Mikro pula, kita menyediakan bantuan kewangan RM50 juta lagi untuk usahawan mengembangkan perniagaan mereka.

“Selain itu, di bawah Skim Dana Bantuan Khas(subsidi faedah) PKS akan menikmati pinjaman tanpa faedah selama tiga setengah tahun dan sejumlah RM17.3 juta dijangka akan dikeluarkan oleh bank yang mengambil bahagian tersebut.

“Oleh itu, RM19 juta diperuntukan dan skim itu akan memberi manfaat kepada 40,000 PKS di seluruh Sarawak,” jelasnya.

Ujarnya, penangguhan bayaran balik pinjaman untuk Skim Pinjaman Industri Kecil Sederhana (SPIKS) juga turut dilaksanakan untuk meredakan aliran tunai PKS sekali gus meringankan beban 144 orang peminjam.