KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan mewujudkan dasar ‘Pandang ke Borneo’, bagi menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai destinasi pelaburan yang besar dan berpotensi menjana ekonomi negara.

“Saya mencadangkan apa-apa juga visi atau pelan yang dicorakkan Kerajaan, perlu ambil pendekatan pandang ke Timur, tapi taklah jauh sampai ke Jepun. Cukup ke Borneo iaitu Sabah, Sarawak dan Kalimantan,”  katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

“Mereka ada sumber kekayaan asli yang amat besar, lokasi mereka strategik, kerana berdekatan dekat dengan negara membangun di Asia Timur berbanding Semenanjung Malaysia. Tak masuk akal kita biarkan syarikat-syarikat utama Malaysia hanya melabur di luar negara, tanpa mengambil kira Sabah dan Sarawak,” katanya lagi.

Najib berkata, perpaduan sebenar adalah Sabah dan Sarawak bersama-sama dengan Malaysia, bukan semata-mata Sabah for Sabahan, atau Sarawak for Sarawakian sahaja.

Beliau berkata,  rakyat Sabah paling terjejas akibat gelombang ketiga Covid-19 dan mereka tidak dapat tunggu hingga tahun hadapan sebelum bantuan tiba.

Najib berkata, beliau mengharapkan agar tambahan RM1,000 dapat diperuntukan di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), khususnya untuk penduduk di negeri itu.

Menurut beliau, kerajaan sepatutnya tidak ada masalah kerana membuat peruntukan khas untuk Sabah selepas Petronas dilaporkan bersetuju membayar dividen RM1.23 bilion kepada negeri itu.