MIRI:  Di mana silapnya, tidak pasti.

Walaupun sudah diingatkan berkali-kali tentang Love Scam, masih ada yang terperangkap dalam jaring perdaya kumpulan durjana berkenaan.

Ya, terbaharu, seorang jururawat wanita di sini terpaksa  merana kerana menanggung kerugian RM51,300 setelah diperdaya sindiket ‘Love Scam.’

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah  dalam satu kenyataan  media berkata,  mangsa diperdaya setelah berkenalan dengan seorang lelaki dikenali sebagai ‘Slavens Ahmed Marvin’ kononnya dari Melbourne, Australia menerusi Facebooknya.

“Pada mula perkenalan, pengadu menyatakan sebagai rakan biasa sahaja, namun selepas beberapa bulan kenalannya itu berhasrat ingin melamar pengadu,”  katanya dalam kenyataan itu.

Jelas beliau, rakan pengadu itu mengatakan ingin  ke Malaysia dan berjumpa dengannya, setelah sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, rakan pengadu telah ditahan oleh pihak kastam kerana membawa sejumlah wang berjumlah AS$500,000.

Untuk rekod, modus operandi sama telah digunakan kumpulan terbabit berkali-kali sebelum ini.

Lim berkata susulan itu, pengadu mendapat panggilan kononnya daripada pihak kastam mengarahkan mangsa membayar bayaran sebagai syarat pelepasan rakan pengadu tadi.

Selepas itu, jelasnya lagi, pengadu melakukan beberapa transaksi ke dalam akaun bank tertentu berjumlah keseluruhan  RM51,300  bagi tempoh 17 Jun hingga 28 Julai lalu.

Pengadu membuat laporan polis di sini pada 5 November lalu.