Sarawak sudah lama mengamalkan politik yang bersifat inklusif.  Gabungan Parti Sarawak (GPS)  yang sebelum ini merupakan Barisan Nasional Sarawak sudah lama memainkan peranan ini  secara dinamik. Sarawak telah membuktikan tidak ada mana-mana etnik dapat  menubuhkan kerajaan tanpa penyertaan etnik-etnik lain.

Dari segi etnik, kaum Dayak, Melayu/Melanau dan Cina masing-masing  mempunyai populasi yang hampir sama, iaitu hampir satu pertiga setiap satu dalam kalangan etnik.   Sekiranya diperhalusi etnik Iban mewakili 28.3 peratus,  Melayu 26.4 peratus, Cina 24.2 peratus, Bidayuh 8.4 peratus, Orang Ulu mewakili 6.7 peratus, Melanau 5.4 peratus manakala lain-lain mewakili 0.6 peratus (2016).

Daripada segi politik,  majoriti etnik di Sarawak menyertai parti berbilang kaum termasuk Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan   Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP). Selain itu, parti pembangkang pula terdiri daripada parti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP). Kesemua parti berteraskan tempatan  diketuai oleh pemimpin tempatan tanpa mengira etnik.

Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) diketuai oleh etnik Melayu, manakala salah seorang timbalannya, iaitu Douglas Uggah Embas daripada etnik Iban. Begitu juga salah seorang Naib Presiden Kanan daripada etnik bidayuh, iaitu Michael Manyin dan naib presiden juga terdapat etnik Iban diwakili oleh Stephen Rundi,  jawatan setiausaha agung PBB disandang Alexander Linggi.  Gerawat Gala dari etnik Orang Ulu  turut memegang jawatan naib presiden.  Dalam hieraki parti tersebut masing-masing etnik mempunyai peranan dan tanggungjawab dalam parti.

Parti Rakyat Sarawak (PRS) pula  dipimpin oleh James Masing ahli politik Iban  yang berpengalaman dan sebagai parti berteraskan etnik Dayak, keahlian parti dan perjuangan berorientasikan  perjuangan masyarakat Dayak dan masyarakat umum  keseluruhannya.  Timbalan presiden, ketua wanita, ketua pemuda dan jawatan strategik lain dipegang oleh etnik Dayak.  Namun, sesuai dengan meraikan kepelbagaian etnik dan agama gerakan parti PRS sentiasa  berpegang kepada kedaulatan undang-undang dan perlembagaan negara bagi menjamin perpaduan kaum terus terpelihara dan lonjakan pembangunan.

Tiong King Sing

Berlainan pula dengan Parti  Demokratik Progresif (PDP), yang kini parti diketuai oleh Tiong King Sin, namun jawatan strategik dikuasai oleh etnik dan Dayak dan Cina. Jawatan timbalan presiden, setiausaha agung dan ketua pemuda misalnya disandang oleh Dayak manakala ketua wanita pula oleh etnik Cina.  Ia seolah-olah bayangan kepada parti SNAP yang pernah menjadi parti yang kuat lebih 40 tahun yang lalu.  Kesemua parti tersebut mempunyai sokongan daripada beberapa etnik dan  mempunyai struktur dan tapak sokongan akar umbi daripada pelbagai lapisan golongan masyarakat.

Politik Inklusif

Politik inklusif Sarawak dapat dilihat melalui pelantikan jawatan timbalan ketua menteri yang disandang oleh 2 menteri Dayak diwakili oleh Douglas Uggah Embas dan James masing.

Uggah turut memegang jawatan, sebagai menteri Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, selain jawatan menteri kewangan kedua.

Selain sebagai timbalan ketua menteri Sarawak, Masing memegang jawatan menteri infrastruktur dan pembangunan pelabuhan.

Jawatan-jawatan tersebut sangat strategik bukan sahaja untuk membangunkan negeri Sarawak secara menyeluruh, akan tetapi untuk memastikan  rakyat negeri Sarawak khususnya masyarakat Dayak mendapat manfaat daripada pelantikan tersebut.  Malah hal ehwal teknologi, pendidikan sains juga dipegang oleh anak Bidayuh yang berpengalaman sebagai pengetua sekolah sebelum menjadi wakil rakyat.

Begitu juga apabila Stephen Rundi  dilantik sebagai Menteri Utiliti berpeluang untuk memastikan pengawalseliaan dan mengawasi pengurusan perkhidmatan utiliti di negeri ini, iaitu elektrik, air dan gas. Memberikan impak kepada masyarakat bandar dan luar bandar. Kementerian inilah  bergerak untuk memastikan liputan penuh bekalan elektrik dan penyediaan bekalan air bersih menjelang 2025 melalui beberapa inisiatif di bawah program transformasi luar bandar.

Politik inklusif juga dapat dilihat daripada pengagihan jawatan menteri-menteri muda dalam jawatan seperti pengangkutan, elektrik luar bandar, pembangunan belia, perumahan dan kerajaan tempatan, pembangunan tanah adat dan seumpama ini mampu untuk membangunkan masyarakat luar bandar khususnya masyarakat bumiputera Sarawak. Pada masa yang sama majoriti wakil rakyat terpilih merupakan Dayak bumiputera, dan sewajarnya tidak menjadi isu tidak ada  mewakili suara di dewan undangan negeri Sarawak. Kesemua masalah rakyat ditangani dengan pelbagai usaha.

Malah Sarawak merupakan negeri yang memberikan peruntukan pembangunan tertinggi  di Malaysia  kepada wakil rakyat  di peringkat dewan undangan negeri (DUN). Dalam setahun peruntukan MRP dan RTP sekitar RM 7 juta mampu memberikan impak pembangunan yang luar kepada kepada kawasan yang diwakili. Pemberian  peruntukan yang besar tersebut telah dimulakan sejak pemerintahan Pehin Sri Adenan Satem sebagai ketua menteri Sarawak. Justeru, adalah tidak wajar sesetengah pihak menyatakan bahawa kerajaan negeri Sarawak tidak prihatin mengenai masyarakat setempat.

Cuma sekiranya, peruntukan tersebut tidak melimpah dari segi kesan kepada rakyat bawahan, rakyat boleh menyuarakan kepada kepimpinan tertinggi negeri. Sudah pasti Ketua Menteri Sarawak tidak mahu wakil rakyat yang dilantik kurang berprestasi tinggi dan kurang berorentasi kepentingan rakyat. Sudah tentu lebih ramai lagi, calon-calon berbakat dan berpotensi untuk menggantikan wakil rakyat yang tidak memberikan kepuasan khidmat kepada penduduk setempat.

Cabaran

Sarawak merupakan negeri yang mempunyai geografi yang luas hampir besar dengan Semenanjung Malaysia dan mempunyai penduduk  sekitar 1.8 juta penduduk. Pendapatan isi rumah  Sarawak hanya RM3,994 berbanding pendapatan isi rumah nasional sebanyak RM5,116. Begitu juga keluhan mengenai 73,800 keluarga masih tinggal di luar bandar  yang kekurangan kemudahan infrastruktur.  Di Kuching, orang Melayu merupakan penerima E-Kasih tertinggi yang patut ditangani secara lebih menyeluruh. Namun ini perlu dilihat sebagai isu yang perlu ditangani bersama dan bukan dilihat dari segi isu etnik kerana kemiskinan melangkau isu etnik dan agama.

Dalam konteks Sarawak, politik perpaduan dan penyatuan sangat penting. Rakyat Sarawak tanpa mengira etnik mahukan usaha pembangunan terus berjalan tanpa mahu terjejas akibat usaha pihak sekelompok yang mahu memecah belah perpaduan yang sedia ada. Politik menggunakan retorik etnik dan agama sukar diterima di Sarawak. Maknanya mana-mana pihak yang menggunakan politik retorik ini akan cepat tersingkir dalam arus perdana politik Sarawak.

Lazimnya penggunaan retorik etnik sempit adalah kelompok yang terdesak untuk dapatkan sokongan. Tidak perlu menjadi menjadi penan untuk jaga kepentingan orang Penan kerana undang-undang dan perlembagaan menjamin hak setiap warga.  Selama ini walaupun tidak ada orang Penan jadi menteri atau wakil rakyat, kebajikan Penan tetap terpelihara dan banyak usaha dilakukan untuk meningkatkan kehidupan orang Penan khususnya bidang pendidikan.

Hakikatnya, tanpa mengira undi Cina, Melayu atau Dayak, semua undi penting. Namun apabila selepas pilihan raya sekiranya pengundi mereka berasa seolah-olah terpinggir oleh pemimpin mereka , maka mereka perlu menuntut digantikan calon yang lebih baik lagi. Terdapat akar umbi mengeluh kononnya pemimpin mereka sibuk  dan suara mereka kurang didengari.  Ada pula sibuk kepada kepentingan sendiri atau berpolitik sesama mereka hingga berpecah kepada pelbagai parti. Manakala parti yang kalah pula terus menghilang diri. Apabila hampir pilihan raya mereka muncul macam cendawan dengan pelbagai janji yang kurang realistik.

Politik inklusif  yang diamalkan di Sarawak masih relevan, namun pada masa yang sama pemantauan pembangunan dan prestasi wakil rakyat perlu diberikan perhatian bagi menjamin lonjakan pembangunan yang lebih baik dan segar. Sudah pasti Ketua Menteri Sarawak mahukan pembangunan yang lebih telus, berwibawa dan mampu memberikan impak besar kepada rakyat di negeri ini.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.