KUCHING: Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keputusan  untuk menguatkuasakan PKPB  selama 14 hari di daerah Kuching adalah berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di daerah itu setiap  hari.

Menurut beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri, JPBNS telah menilai situasi dengan mengambil kira kes jangkitan tempatan yang direkodkan di daerah Kuching iaitu sebanyak 151 kes dalam tempoh 14 hari yang lepas. 

“Maka, keputusan untuk menguatkuasakan PKPB bagi Daerah Kuching akan dilaksanakan mulai 9 hingga 22 November 2020,” katanya pada sidang media perkembangan harian Covid-19 di DUN lama, semalam.

Uggah juga berkata, bagi pergerakan rentas negeri dari Semenanjung, Sabah dan Labuan tidak dibenarkan kecuali dengan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, untuk pergerakan rentas daerah dalam negeri Sarawak dibenarkan kecuali keluar dan masuk ke daerah Kuching. 

Beliau berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) akan dikeluarkan pada hari ini.

Kes jangkitan baharu Covid-19 melonjak kepada 25 semalam dan semuanya dikesan di daerah Kuching.