SCOTLAND: Sebuah kamera yang digunakan untuk merakam perlawanan bola sepak di Scotland menyebabkan peminat berang.

Ini kerana kamera itu asyik merakam pengadil bola sepak kerana menyangka kepalanya yang botak itu sebagai bola.

Keadaan ini menyebabkan peminat bola sepak yang menonton perlawanan itu marah kerana tidak dapat menyaksikan jaringan gol pasukan masing-masing.

Perlawanan antara pasukan Inverness Caledonian Thistle (ICT) menentang Ayr United yang diadakan pada Sabtu lalu tidak menggunakan khidmat jurukamera biasa.

Mereka menggunakan kamera AI yang diprogram khas untuk mengikuti perlawanan itu sepenuhnya.

Semuanya tidak berjalan lancar apabila kamera itu menjadi keliru dan sering kali merakam gelagat pengadil dan bukan objek bola.

Secara kebetulan kepala pengadil itu botak dan menyerupai sebiji bola.

Memandangkan perlawanan itu berlangsung semasa pandemik Covid-19, stadium itu kosong dan tiada penonton.

Perlawanan itu ditonton secara lansung di kaca televisyen.

Berikutan kekeliruan tersebut ramai peminat pasukan itu marah dan geram kerana tidak dapat melihat pasukan mereka menjaringkan gol.

Ada juga yang geli hati dengan situasi luar biasa ini dan menyarankan supaya pengadil tersebut memakai topi pada perlawanan akan datang.