
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memutuskan maksimum 200 orang sahaja dibenarkan mengikut saiz ruang dan penjarakan fizikal bagi majlis sosial dan majlis rasmi membabitkan perhimpunan orang ramai di negeri ini.
“Pihak penganjur dinasihati supaya memastikan cecair sanitasi disediakan, penjarakan fizikal diamalkan dan yang hadir diwajibkan memakai pelitup muka,’ kata Pengerusinya Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Jelas beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri, pihak penguat kuasa akan mengambil tindakan tegas sekiranya penganjur tidak mematuhi prosedur operasi standard.
Beliau turut mohon agar rakyat Sarawak sedar dan mengambil maklum, jumlah kes positif yang telah dilaporkan semakin meningkat.
Sebanyak enam kes positif baharu direkodkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini di negeri ini ialah 942 kes.
“Rakyat Sarawak mesti memainkan peranan masing-masing bagi memastikan penularan Covid-19 ini dapat diputuskan,” tegasnya.
