Sunday, January 23, 2022

Lubang di selekoh jalan Kabong ancam nyawa pengguna

Secara Rawak

KABONG: Satu lubang terbentuk di lorong sebelah kiri jalan raya di kilometer 4½ jalan raya utama Kabong-Nyabor dekat sini dan berbahaya kepada pengguna jalan raya.

Lubang yang telah terbentuk sejak lebih sebulan yang lalu kini semakin membesar dan bertambah dalam tanpa ada usaha menutup lubang tersebut dilakukan pada masa kini oleh pihak yang berkenaan.

Lebih membimbangkan lubang berkenaan wujud di kawasan selekoh dan ibarat perangkap yang menunggu mangsa yang melalui kawasan tersebut.

Seorang pengguna jalan raya yang hanya mahu dikenali sebagai Norhisyam berkata, dia antara pengguna jalan raya yang sudah hampir terpelanting setelah terempuh lubang berkenaan yang dipenuhi air dan tidak kelihatan kedalaman lubang berkenaan.

Kata Norhisyam pengguna motosikal adalah merupakan golongan paling berisiko kerana lubang berkenaan terletak betul-betul di lorong yang sememangnya menjadi laluan penunggang motosikal.

“Kalau penunggang motosikal motosikal terlanggar lubang itu ia sangat berbahaya dan boleh berlaku kemalangan. Kenderaan seperti kereta pula jika terlanggar lubang berkenaan, tayar dan rim kenderaan pasti akan alami kerosakan. Tayar boleh pecah,rim bengkok, pecah tangki minyak pelincir dan banyak lagi kemungkinan.

“Hujan yang kerap turun ketika ini dan banyaknya kenderaan berat lalu-lalang melalui kawasan berkenaan menyebabkan kerosakan jalan raya tersebut makin teruk,”ujarnya.

Rata-rata pengguna jalan raya yang ditemui memohon pihak berwajib bertindak segera menutup dan melakukan kerja-kerja membaiki jalan raya berkenaan sebelum lubang berkenaan menyebabkan lebih banyak kemalangan membabitkan pengguna jalan raya di situ.

Di samping itu, pada masa sekarang, pengguna diingatkan supaya berwaspada ketika melalui kawasan jalan raya berkenaan bagi mengelakkan berlaku kejadian yang tidak diingini di situ.

Keadaan akan menjadi lebih berbahaya pada waktu malam kerana lubang itu tidak akan kelihatan kerana tempat tersebut gelap.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru