KUCHING: Dua suspek kes samun premis 24 jam telah ditahan oleh Polis dari Ibu Pejabat Daerah Kuching pada awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Awang Din Awang Gani berkata, salah seorang suspek berjaya ditangkap hasil kerjasama pekerja premis dengan pihak Polis.

Menurutnya, semasa kejadian, berlaku pergelutan antara suspek dengan pekerja dan suspek berjaya ditahan dan diserahkan kepada pihak polis.

Ekoran dari tangkapan tersebut, kata Awang Din, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak telah berjaya menangkap seorang lagi rakan sejenayah yang terlibat dalam samun tersebut.

Tambahnya, motosikal yang digunakan untuk melakukan jenayah samun tersebut turut dirampas.

Awang Din memberitahu, sebelum itu, pada hari yang sama sekitar jam 1.30 pagi, kedua-dua suspek telah melakukan cubaan samun di salah sebuah kaunter stesen minyak di Jalan Abdul Rahman namun tidak berjaya.

“Pada kejadian itu, suspek telah mengacu satu senjata menyerupai pistol warna hitam menyebabkan pekerja premis tersebut melarikan diri masuk ke dalam stor premis tersebut.

“Kedua-dua suspek kemudiannya beredar dari premis tersebut apabila usaha untuk menyamun tidak berjaya. Setelah beredar dari situ, kedua-dua suspek terus mensasarkan sebuah premis 24 jam yang berada di kawasan Taman Sukma pada sekitar 2.10 pagi namun hasrat kedua-dua suspek ini tidak kesampaian setelah salah seorang suspek berjaya ditahan,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau dalam kes jenayah harta benda, samun dan juga dadah.

Tegas Awang Din, siasatan lanjut akan terus dijalankan dimana kedua-dua suspek tersebut akan dihadapkan ke Mahkamah Kuching bagi permohonan reman di bawah seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan, jika disabit kesalahan hukuman penjara yang boleh sampai 20 tahun dan sebatan.

“Setakat ini pihak polis telah dapat menyelesaikan tiga kes yang dilaporkan dan tindakan soal siasat akan diteruskan untuk mengenal pasti penglibatan kedua-dua suspek bagi kes-kes yang lain,” ujarnya.

Beliau juga menyeru kepada masyarakat agar terus bekerjasama dengan Polis bagi mencegah jenayah samun ini dan mengingatkan semua lapisan masyarakat perlu membantu menyalurkan maklumat mengenai kegiatan dan kejadian jenayah kepada pihak Polis melalui hot line 082244444 atau berhubung terus dengan mana-mana balai polis terdekat untuk tindakan pihak polis selanjutnya.