PILIHAN Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12) semakin hampir?

Kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas Sabtu lalu berhubung pilihan raya tidak boleh dielak, menunjukkan bahang PRN-12 semakin terasa.

Hakikatnya, tiada keperluan bagi pihak tertentu untuk membantah kerana ia sudah jelas bahawa pilihan raya perlu diadakan kerana ia dalam perlembagaan yang tidak boleh dielakkan.

Fasal 4 Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak juga memperuntukkan pilihan raya negeri hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu, berkaitan pilihan raya, selaras dengan peningkatan kes Covid-19 dalam negara sejak lebih sebulan kebelakangan ini.

Tiga syor yang dikemukakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ialah tidak boleh merentas negeri; sempadan negeri atau daerah, tiada perhimpunan ramai bagi melaksanakan kempen dan tiada lawatan dari rumah ke rumah.

Selain itu, SOP yang harus diperketatkan ialah tiada lagi kempen secara bersemuka dan ziarah calon atau penyokong serta tinjauan mesra tidak lagi dibenarkan.

Malah bagi penambahbaikan aktiviti berkempen, SPR mencadangkan calon atau parti dibenarkan membuka satu bilik gerakan sahaja.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata; “memandangkan tiada kuasa yang boleh menghalang pilihan raya untuk dibatalkan, tiga prinsip diikuti sepenuhnya sebagai syarat sebelum sesuatu pilihan raya itu diadakan”.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sendiri menjelaskan GPS tidak boleh kehilangan mandat ‘secara percuma’ jika PRN-12 tidak diadakan apabila tempoh Dun Sarawak berakhir pada Jun tahun hadapan.

Justeru, kini semua harus sedar pandemik Covid-19 yang sedang melanda tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak mengadakan pilihan raya apabila tiba masanya.

Untuk rekod, PRN ke-12 seharusnya berlangsung pada atau sebelum Jun tahun depan. Sebanyak 82 anggota Dun Sarawak, dipilih di kawasan pilihan raya menggunakan kaedah undian, pemenang undi terbanyak.

GPS terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu (SUPP).

Sarawak mempunyai 82 kerusi Dun dengan 47 milik PBB, 11 kerusi PRS, tujuh kerusi SUPP dan tiga kerusi PDP dan GPS mempunyai 68 kerusi.

Bagi kebanyakan pemerhati politik Bumi Kenyalang, PRN-12 dijangka akan berlangsung tahun ini, yakni hujung tahun.

Malah ramai yang meramal, November merupakan bulan terbaik, setelah berakhirnya Oktober. Atau mungkin juga awal Disember?

Mungkin agak sukar untuk diadakan pada hujung tahun atau awal tahun hadapan, kerana ia merupakan musim tengkujuh.

Kini rakyat Sarawak hanya menunggu paluan gendang perang PRN-12, sama ada ia akan diadakan pada bila-bila masa dari sekarang atau sebaliknya.

Malah sudah terdapat beberapa petanda ia akan diadakan pada tahun ini, kerana kebanyakan YB kelihatan semakin sibuk daripada biasa, menyertai program demi program.