PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di ibu pejabat Umno di PWTC, Kuala Lumpur pada malam Isnin lalu.

Mesyuarat itu dijangka begitu panas dan tegang.

Tidak hairanlah, hasil mesyuarat itu sentiasa ditunggu-tunggu oleh media dan rakyat Malaysia.

Yang bermain dalam fikiran rakyat ialah apakah agenda yang dibincangkan? Sebab, sebarang keputusan yang dibuat oleh Umno, parti tulang belakang PN, akan memberi kesan dan implikasi yang besar dan mendalam bukan sahaja terhadap perikatan itu, tetapi juga landskap negara.

Daripada mesyuarat yang berakhir selepas tengah malam itu, Ahli MKT telah memutuskan beberapa perkara.

Pertama, menjunjung kasih atas keputusan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri bagi maksud pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan.

Darurat akan mendatangkan kesan besar kepada politik, psikologi, ekonomi, pasaran saham dan pelaburan langsung asing. Darurat pasti akan memudaratkan imej negara pada jangka panjang termasuk di peringkat antarabangsa.

Ramai yang bertanya, apakah motif sebenar cadangan pengisytiharan darurat itu? Adakah benar-benar untuk menyelamatkan negara daripada ancaman pandemik Covid-19 atau untuk menyelamatkan kedudukan  dan jawatan para pemimpin politik dan kerajaan yang memerintah?

Umno menyifatkan keputusan yang turut diperbincangkan dengan Majlis Raja-Raja tersebut sebagai amat bijaksana dan cukup melegakan rakyat.

Malah, bagi saya  keputusan itu memperlihatkan kearifan, kebijaksanaan dan pandangan jauh baginda dan Majlis Raja-Raja yang lebih mengutamakan kepentingan rakyat dan negara atas kepentingan survival politik pemimpin tertentu.

Dalam keadaan ketidaktentuan politik, Majlis Raja-Raja dan Raja menjadi kuasa pengimbang dan suara hati nurani rakyat yang rasional, selari dengan falsafah dan doktrin pemisahan kuasa dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan.

Mesyuarat Umno yang penting itu juga mendukung sepenuhnya titah dan saranan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja agar dikendurkan segala ketegangan politik dengan melakukan gencatan politik bagi memastikan kestabilan politik negara dapat terus dipertahankan.

Mungkinkah gencatan politik dapat dilakukan? Gencatan politik, seperti juga gencatan senjata dalam sebarang peperangan, amat penting untuk memastikan perundingan kedamaian atau kedamaian dapat dicapai. Namun, bukan mudah untuk berpegang kepada prinsip gencatan senjata yang sebenarnya. Biasanya, gencatan senjata dilanggar kerana ego, kuasa dan kepentingan tertentu.

Selain itu,  MKT menyarankan agar inisiatif rekonsiliasi nasional atau agenda perdamaian nasional segera dilaksanakan dengan menggembleng penyertaan semua parti politik yang bernaung dalam Kerajaan Perikatan Nasional dan juga parti-parti pembangkang.  MKT Umno  juga mahu memastikan ketetapan Perhimpunan Agung Umno untuk memperkasakan Muafakat Nasional dapat terus direalisasikan.  Maksudnya, hubungan antara Umno dengan Pas — dua parti Melayu utama — perlu dipertahankan.

Persoalannya, mungkinkah rekonsiliasi nasional dapat direalisasikan? Adakah rekonsiliasi nasional dapat dicapai hanya dengan membabitkan parti tertentu, sedangkan kita tahu, Umno berpegang kepada prinsip, ‘No DAP, No Anwar, No Mahathir’ atas alasan yang kita semua sedia maklum.

Ini ditegaskan dalam satu daripada keputusan mesyuarat MKT pada malam berkenaan. Majlis Kerja Tertinggi Umno menyatakan  bahawa ia mengekalkan keputusan terdahulu tanpa kerjasama PKR dan DAP.  Malah, ahli-ahli Parlimen Umno digesa terus mendukung Kerajaan PN.

Jadi, kenyataan itu sendiri sudah memperlihatkan satu percanggahan. Di satu pihak Umno mahu rekonsilisasi nasional dilakukan, tetapi pada waktu yang sama ia tidak mahu bekerjasama dengan DAP dan Anwar. Bagaimanakah rekonsilisasi nasional dapat dicapai tanpa kerjasama DAp dan PKR?

Sebelum ini, Zahid dipetik berkata bahawa ahli parlimen Umno bebas menentukan pendirian mereka ketika timbul dakwaan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau mempunyai jumlah ahli parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan sekali gus menjadi Perdana Menteri yang amat-amat diidamkannya.

Berita tentang sokongan mereka terhadap ketua pembangkang itu menyebabkan akar umbi dan sebahagian pemimpin Umno kecewa dan marah.

Itulah sebabnya, Najib diserang dan dibantai teruk melalui media sosial.

Kita tentu dapat rasai  gelora jiwa Zahid ketika berdepan dengan MKT pada malam Isnin lalu. Jadi, tidak hairan, beliau menukar pendirian untuk tidak menyokong Anwar.

Kalau tidak, dapat dibayangkan bagaimana peluru serangan akan menghala ke arahnya pada malam itu. Yang jelas, Zahid melanggar pendirian Umno untuk tidak menyokong Anwar dan DAP.

Bagaimanakah Umno dapat bekerjasama dengan Anwar dan PKR kerana tidak mungkin bagi DAP yang punya 42 ahli parlimen untuk tidak punya pengaruh dan suara besar terhadap Anwar jika ia memerintah nanti.

Kita sudah pun menyaksikan bagaimana kuatnya pengaruh DAP ketika parti cauvinis Cina itu memerintah bersama-sama PH selama 22 bulan sebelum ini. Inilah sebenarnya yang dibimbangi dan ditakuti sebahagian pemimpin Umno.

Mahukah Umno sekali lagi dilayan sebagai parti kelas kedua dalam kerajaan baharu, dengan DAP lebih berkuasa? Tidakkah Umno belajar daripada pengalamannya ketika ini? Walaupun mempunyai jumlah ahli parlimen yang lebih banyak daripada Bersatu, mengapa Umno sedia untuk dilayan sedemikian?

Adakah Zahid sudah membuat satu pusingan U dari segi pendiriannya? Sebelum ini, beliau dan bossku, mantan Presiden Umno dan mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilaporkan, membuat keputusan untuk menyokong Anwar. Apakah agenda mereka mahu menyokong Anwar ketika ada pemimpin Umno yang terpinga-pinga dan dalam kegelapan?

Sebenarnya, sokongan Zahid dan Najiblah dikatakan memberi keyakinan kepada Ahli Parlimen Port Dickson untuk mengisytiharkan kepada dunia bahawa beliau sudah punya angka yang mencukupi untuk menumbangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kerana itu, beliau sudah terbayang akan kerusi keramat Perdana Menbteri di Putrajaya. Tetapi kelihatannya, dengan  perkembangan terbaharu ini, Anwar  kelihatannya akan terus berangan-angan untuk menjadi Perdana Menteri.

Dalam mesyuarat itu juga, Umno menggesa ditambah baik prinsip kerjasama yang harus berpaksikan nilai penghormatan dan konsensus politik.  Adakah  bermakna ketika ini tidak ada nilai penghormatan dan konsensus?

Prinsip kerjasama yang bagaimanakah yang didambakan Umno? Umno yang bagai diperlekehkan oleh Bersatu ketika kabinet dibentuk Mac lalu, mulai bersuara. Umno, pemimpin akar umbi dan tiga juta ahlinya berasa ia tidak dilayan sebagaimana sepatutnya dari segi jawatan dan portfolio.

Maka, tidak hairanlah, Umno mahu jawatan Timbalan Perdana Menteri — yang kini kosong – – diberi kepadanya, selain kementerian-kementerian penting lain. Sebuah akhbar Cina di Semenanjung menyebut tiga nama yang berpotensi untuk dilantik ke jawatan Timbalan Perdana Menteri, iaitu Datuk Seri Mohamad Hassan,  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan  Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Dengan keputusan dibuat Umno melalui mesyuarat itu, adakah ini bermakna musim landas sudah berlalu dalam Umno? Mungkinkah nasihat dan titah Agong akan masuk ke dalam pemikiran pemimpin politik supaya mereka tidak menggoncangkan kestabilan politik negara demi kebajikan dan kepentingan rakyat ketika kita berdepan ujian Covid-19? Adakah ahli parlimen, termasuk ahli parlimen pembangkang akan menyokong Bajet 2021 pada 6 November ini,  dan seterusnya  menyelamatkan Muhyiddin?

Atau hubungan Umno dan Bersatu akan terus tegang dan bergelora sehingga mengancam kestabilan PN dan seterusnya kedudukan Muhyiddin?

Dr Jeniri Amir ialah Felo Kanan Majlis Profesor Negara