Saturday, December 3, 2022

20 projek baharu dipohon Kementerian Kerja Raya dalam Bajet 2021

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) memohon 20 projek baharu di seluruh negara menerusi Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November ini, di sidang Dewan Rakyat.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia melibatkan menaik taraf jalan sedia ada kepada laluan empat lorong dua hala, atau membina jalan-jalan baharu

bertujuan menambah baik rangkaian jalan utama sedia ada.

Menurutnya, kesemua cadangan projek ini diteliti dan diperhalusi di peringkat kementerian bersama agensi pusat melalui parameter khusus, termasuk melalui proses konsultasi dengan kerajaan-kerajaan negeri.

Selain projek ‘game-changer’ dan projek baharu, beliau berharap agar kerajaan menyediakan peruntukan yang signifikan untuk projek-projek kecil, sebagai sebahagian pakej rangsangan ekonomi tahun 2021.

“Projek itu termasuk selenggara jalan, cerun, bangunan dan kuarters kerajaan. Kesan pengganda ekonomi yang diperoleh melalui projek kecil ini akan lebih cepat dirasai dan dapat dinikmati oleh lebih ramai lapisan penggiat industri yang terlibat dalam rantaian sektor pembinaan,” katanya dalam kenyataan media, Ahad.

Fadillah yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, industri pembinaan ini diharap terus kekal diberi perhatian dan menjadi teras kerajaan terhadap pemulihan ekonomi dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2021, walaupun sedang berhadapan dengan Covid-19.

“Untuk itu, kementerian perlu memastikan projek pembinaan utama yang sedang dan akan dibina seperti Mass Rapid Transit Line 3 (MRT3), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) dan lebuh raya Pan Borneo serta beberapa projek lebuh raya berjalan lancar,”  katanya sambil menambah, KKR berperanan sebagai pemangkin pertumbuhan positif bagi industri sektor pembinaan.

Sementara, Fadillah berkata, perjalanan industri pembinaan tidak sama selepas berlaku pandemik Covid-19, di seluruh negara, walaupun industri sektor pembinaan dilihat kembali rancak semula selepas suku ketiga tahun ini.

“Ini kerana, industri pembinaan perlu mematuhi kelaziman baharu yang ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar peruntukan yang signifikan dapat disediakan kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk menggiatkan lagi penggunaan teknologi dalam industri pembinaan.

Ini kerana, katanya, penggunaan teknologi dalam industri boleh diadaptasikan melalui teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) seperti robotik, automosi, data raya, internet kebendaan (IoT), realiti maya (VR) dan kecerdasan buatan (AI).

Sehubungan itu, Fadillah berharap belanjawan tersebut dapat mempertimbang permintaan projek berkeutamaan tinggi yang ditentukan oleh KKR.

“Antaranya, baki bagi pakej projek Central Spine Road (CSR) dan Jalan Kota Bharu – Kuala Krai yang masih lagi belum diluluskan, iaitu laluan antara Kuala Krai ke Gua Musang dan juga jajaran menghubungkan Bentong ke Karak.

“Di Malaysia Timur, antara projek berkeutamaan tinggi yang terlibat, laluan ‘missing link’ menghubungkan Kuala Baram di Miri dengan sempadan negara Brunei Darussalam di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Sungai Tujuh, dengan jarak hampir lima kilometer,” katanya.

Katanya, menerusi Belanjawan 2021, KKR juga berharap dapat mengukuhkan lagi penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS), Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dan Pre-Approved Plan (PAP) dalam melaksanakan projek kerajaan dan swasta.

“Ia bertujuan memenuhi aspirasi yang digariskan dalam Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020 dan Dasar Pembinaan Kebangsaan (NCP) 2030 yang bakal dilancarkan nanti,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru