MERADONG: Sebanyak tiga projek diluluskan di bawah peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.

Projek pertama melibatkan pembinaan pagar seluruh kawasan sekolah SJK (c) Nam Chiew dengan kos berjumlah RM100,000 yang dijangka siap pada Mac 2021.

Manakala projek kedua membina baru Prasekolah SJK (C) Min Daik berjumlah RM200,000 dan dijangka siap pada April 2021.

Projek ketiga diluluskan adalah pembinaan Bangunan Zhen Guang Methodist Church Fasa 2 dengan kos berjumlah RM500,000 yang akan siap pada Mei 2021.

Semasa hadir bagi menyempurnakan simbolik penyerahan ketiga-tiga projek berkenaan semalam, Datuk Ding berharap pembinaan pagar SJK (c) Nam Chiew dapat memastikan keselamatan harta benda sekolah tersebut.

Pada masa sama, beliau percaya dengan siapnya prasekolah yang baru akan lebih memudahkan para cikgu untuk mengajar dalam persekitaran yang lebih kondusif.

Katanya, bangunan baru Zhen Guang Methodist Church nanti akan lebih memudahkan penduduk setempat seperti dari kawasan Sungai Narasit, Tung Nam Poh, Sungai Tulai dan Sungai Mador menjalankan ibadat masing-masing.