KUCHING: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM12 juta bagi menyediakan makmal komputer di 1,265 buah sekolah rendah seluruh negeri.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, usaha itu adalah salah satu langkah negeri ini ke arah sistem pendidikan baharu.
“Kita akan memperuntukkan RM12 juta untuk pembinaan makmal komputer di 1,265 buah sekolah rendah di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Pelancaran Projek Pembinaan Bangunan Pentadbiran Baru dan Naiktaraf Bangunan Akademik Sekolah Kebangsaan Merpati Jepang di Kuching, semalam.

Dalam pada itu, Ketua Menteri menambah, negeri ini juga akan mewujudkan sekolah agama antarabangsa.

“Saya telah mengarahkan Jabatan Agama Islam untuk berunding dengan Aljunied Al-Islamiah, Singapura dalam usaha kita mewujudkan sekolah agama antarabangsa di negeri ini,” ujarnya.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi (MESTR), Datuk Amar Micheal Manyin Jawong, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara); Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Prestasi dan Pentadbiran Perkhidmatan), Datu Dr Sabariah Putit dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Merpati Jepang, Senator Zaiedi Suhaili.