KUCHING: Kerajaan Sarawak mengeluarkan pajakan perlombongan kepada Petroleum Sarawak Bhd (PETROS), untuk menjalankan perlombongan minyak dan gas di kawasan darat negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pajakan itu melibatkan dua blok iaitu masing-masing di Adong Kecil Barat di Miri dan blok Engkabang di Marudi.

Menurutnya, langkah itu adalah permulaan kepada usaha untuk melaksanakan hak Perlembagaan Negeri bagi mengawal selia perlombongan minyak dan gas di kawasan darat.

“Kerajaan negeri, melalui Petros, akan mempunyai kawalan, dan hak milik undang-undang kepada, semua minyak dan gas asli yang dihasilkan dari kawasan darat, dan untuk memilih dan melantik kontraktor atau memulakan usaha dengan pelabur untuk meneroka dan menghasilkan minyak dan gas dari kawasan darat Sarawak,” katanya menurut Astro Awani.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis makan malam industri minyak dan gas di Kuching, Jumaat malam.

Beliau berkata pengeluaran pajakan itu direalisasikan melalui Ordinan Perlombongan Minyak 1958 negeri, yang mengawal selia perlombongan minyak di Sarawak dan pelantar benuanya, serta di bawah Perkara 2 (c) Senarai II (Senarai Negeri) dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,

“Ordinan Perlombongan Minyak tidak pernah dimansuhkan walaupun dalam tempoh Perisytiharan Darurat 1969. Kerajaan negeri amat komited untuk mengawal selia perlombongan minyak di negeri ini untuk melindungi kepentingan dan aspirasi rakyat Sarawak,” katanya.

Tambahnya lagi, bagi menarik para pelabur untuk turut serta dalam pembangunan industri minyak dan gas, kerajaan negeri akan mewujudkan kerangka peraturan dan persekitaran yang adil serta mesra perniagaan.

“Kami akan terus bekerjasama dengan penggiat industri sedia ada yang telah beroperasi di Sarawak, termasuk Petronas dan Shell,” katanya.

Kerajaan negeri juga akan mengukuhkan peranan PETROS dalam menerajui penglibatan negeri yang dipertingkatkan dalam industri minyak dan gas terutamanya dalam sektor hiliran.