KUCHING: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) terus mengawasi perkembangan usahawan yang berada di bawah program pembangunan keusahawanan sebagai komitmen terhadap usaha pemulihan setelah penularan wabak Covid-19.

Pengurus Besarnya Abdul Hadi Abdul Kadir berkata, melalui anak syarikat SEDC akan terus menyokong usahawan tempatan yang beroperasi di pelbagai premis perniagaan di bawah pengurusannya.

Menurutnya, terdapat perniagaan di Damai Central semakin meningkat terutamanya pada hujung minggu kerana dikunjungi penduduk sekitar Kuching yang datang bersama-sama keluarga dan rakan.

“Ini merupakan perkembangan yang baik untuk peniaga kecil di sini. “Justeru, kami akan terus memberi sokongan kepada mereka selain menjaga kemudahan dan kebersihan untuk memastikan pengunjung menikmati keseronokan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Tambahnya, SEDC melalui Bahagian Pelancongan dan Perhotelan dan Kampung Budaya Sarawak juga mengadakan lebih banyak pertemuan dengan peniaga sebagai usaha berterusan berinteraksi dengan mereka.

“Kita telah mengadakan pertemuan dan perbinca-ngan dengan pengusaha gerai makanan untuk mengatasi masalah bekalan air yang sedang diperbaiki.

“Masalah bekalan air di Damai Central berlaku akibat pecahnya saluran paip lama menuju ke tempat tersebut. “Ia antara langkah pembetulan yang dilakukan Kampung Budaya Sarawak,” ujar Abdul Hadi.

Jelasnya, beberapa bulan lalu terdapat kekurangan bekalan air dialami peniaga namun keadaan beransur pulih selepas penyelesaian jangka panjang dilaksanakan.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pelancongan dan Hospitaliti Mark Ferguson, Pengurus Besar Kampung Budaya Sarawak Jane Lian Labang dan peniaga.