SARATOK: Jalan raya menuju ke Kampung Kupang dekat sini kini rosak dan perlu perhatian serta tindakan daripada pihak berwajib.

Permukaan jalan raya berkenaan yang tidak berturap kini terbentuk banyak lubang begitu menyukarkan kenderaan penduduk yang ulang-alik melalui jalan raya tersebut.

Jalan raya berstruktur tanah bercampur batu meliputi jarak sepanjang 21 kilometer iaitu dari Bajau hingga ke Kupang dengan keadaan tidak elok menyebabkan kenderaan penduduk kerap mengalami kerosakan.

Seorang penduduk Kampung Kupang, Musa Junaidi, 53, berkata Jalan raya tersebut menjadi isu utama kawasan ini kerana jalan raya berkenaan merupakan satu-satunya jalan darat yang menghubungkan kawasan itu dengan pekan Saratok dan kawasan berdekatan sekitarnya.

Laluan itu juga menjadi nadi penghubung bagi mengangkut hasil pertanian terutama hasil kelapa sawit penduduk

Keadaan menjadi makin rumit apabila penduduk melaluinya pada waktu malam lebih-lebih lagi apabila ada berlaku kes kecemasan dan juga kes penduduk sakit dan perlu dibawa ke hospital dalam keadaan segera.

Sehubungan dengan itu penduduk di situ berharap jalan raya berkenaan dibaiki dalam kadar segera.

Mereka juga berharap usaha menaiktaraf dengan menurap jalan raya berkenaan dapat dilaksanakan oleh pihak berwajib.