KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak menandatangani perjanjian dengan organisasi makanan dan pertanian untuk melaksanakan Garis Panduan Mengurangkan Impak Pembalakan (RIL) yang disemak semula bagi menyokong pengurusan hutan lestari di Sarawak.

Pengarahnya Datuk Hamden Mohammad berkata, projek bermula pada Mac 2019 itu disokong oleh Pelan Tindakan Penguatkuasaan, Tadbir Urus dan Perdagangan Undang-Undang Hutan Kesatuan Eropah (EU-FLEGT) dan bekerjasama dengan Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia.

“Tempoh projek pada mulanya satu tahun dan hasil utama adalah Garis Panduan RIL yang lebih baik untuk Sarawak.

“Namun kerana pelbagai alasan, antaranya pandemik Covid-19, projek ini dilanjutkan hingga Disember 2020,” katanya ketika hadir ke program sesi perkongsian mengenai Garis Panduan Mengurangkan Impak Pembalakan yang Disemak Semula untuk Sarawak di Hotel Imperial di sini, semalam.

Menurutnya, JHS mengembangkan garis panduan itu pada 1999 berdasarkan dua kerjasama antarabangsa projek Kawasan Pengurusan Hutan Model dengan Pertubuhan Kayu Tropika Antarabangsa pada 1993-1996 dan Sistem Maklumat Pengurusan Hutan (Fomiss) dengan Kerjasama Teknikal Malaysia-Jerman pada 1995-2001.

“Walaupun garis panduan RIL disemak dan disatukan, kami terbuka untuk penambahbaikan selanjutnya bagi memastikan RIL berkesan dan diterima di peringkat antarabangsa. “Garis panduan yang disemak dikembangkan oleh projek ini akan berfungsi sebagai garis panduan umum.

“Namun, untuk mempermudahkan pelaksanaannya, pelbagai manual akan dihasilkan dengan sewajarnya,”jelasnya. Sementara itu, bagi projek kolaborasi itu disokong dengan peruntukan sebanyak USD109,920 bagi pelaksanaan projek.

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada WWF Malaysia kerana menjadi rakan kongsi. “Projek satu tahun tidak mencukupi bagi semua aspek RIL kerana masih banyak lagi bidang perlu dikaji sebelum memasukkannya ke senarai garis panduan.

“Mungkin lebih banyak kerjasama dan dana diperlukan untuk merapatkan jurang ada,”tambahnya lagi.