KUCHING: Kementerian Kebajikan Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak komited menggalas tanggungjawab menjaga kesejahteraan dan kebajikan kanak-kanak berkeperluan khas di negeri ini.

Menterinya Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pihaknya memastikan hak golongan ini sentiasa terjaga dan diberi keutamaan.

Bercakap pada majlis perasmian Pusat Intervensi Awal Kanak-Kanak Istimewa (OSEIC) di Metrocity Matang, Fatimah berkata penubuhan pusat ini menunjukkan keprihatinan Ketua Menteri Sarawak dan Petronas terhadap nasib golongan istimewa di negeri ini.

Objektif utama OSEIC memberikan perkhidmatan sehenti bagi diagnosis, intervensi awal dan rehabilitasi bagi kanak-kanak berkeperluan khas berumur 7 tahun ke bawah di bawah satu bumbung, selain memberi khidmat sokongan kepada ibu bapa atau penjaga kanak-kanak ini.

Menurut Fatimah, turut akan ditubuh ialah Sekolah Rendah Pendidikan Khas Sarawak, sekolah menengah dan pusat Latihan kemahiran (vokasional) bagi kanak-kanak dan remaja berkeperluan khas di negeri ini.

Sebanyak RM11,180,000 peruntukan lima tahun pertama disediakan oleh Kerajaan Sarawak khas untuk Pengurusan dan Pengoperasian OSEIC.

Sementara itu, Petronas menyumbang RM4 juta kepada OSEIC.