MEXICO: Sekumpulan pekerja menemui tikus gergasi semasa membersihkan saliran bawah tanah di kota itu.

Tikus itu ditemui terperangkap di dalam terowong bawah tanah sejak beberapa tahun lalu.

Kumpulan pekerja itu membersihkan 22 tan sampah-sarap terkejut melihat tikus gergasi yang mempunyai saiz dua kali ganda berbanding manusia biasa itu duduk di dalam terowong terbabit.

Setelah diamati rupa-rupanya ia replika tikus yang dihasilkan untuk meraikan Halloween.

Ia dikatakan disimpan di dalam stor, tetapi hanyut ketika Mexico dilanda ribut satu ketika dahulu.

Replika itu terperangkap di dalam sistem saliran dan menunggu untuk dikeluarkan.

Orang ramai yang melihat “tikus gergasi “ itu memberitahu bentuknya yang menyerupai tikus asli itu boleh menyebabkan mereka berlari ketakutan jika menemuinya di jalanan.

Seorang wanita yang dikenali sebagai Evelin López mengaku pemilik replika tersebut.

Menurutnya beberapa tahun lalu, dia mengumpul pelbagai material untuk menghasilkan replika tersebut untuk sambutan Halloween, namun ia hilang semasa hujan lebat.