KUCHING: Tiada sekatan perjalanan masuk atau keluar Kuching buat masa ini meskipun daerah ini diisytiharkan sebagai zon merah Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah bagaimanapun berkata, penduduk di luar Kuching dinasihatkan untuk tidak melawat daerah ini buat masa terdekat kecuali mempunyai urusan penting.

“Kita juga berharap agar penduduk di Kuching kekal di rumah masing-masing dan elakkan untuk ke daerah lain.

“Hanya duduk di rumah sahaja,” katanya kepada pemberita selepas melawat bilik operasi yang ditubuhkan di pekarangan Masjid Kampung Haji Baki di sini semalam susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri menambah, banyak faktor perlu dipertimbangkan dalam melaksanakan PKPD dan bukannya penguncian sepenuhnya sehingga melarang rentas daerah.

“Kita telah berbincang dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengenai perkara terbabit kerana komuniti perniagaan akan berdepan cabaran besar sekiranyan penguncian daerah dilakukan.

“Jadi, kita membuat keputusan untuk menguatkuasakan PKPD di Kampung Haji Baki sahaja,” ujarnya.