BINTANGOR: Kebimbangan penduduk Rumah Panjang Thomas Settian terhadap kejadian tanah runtuh yang menimpa rumah mereka terutama pada waktu hujan akan berakhir tidak lama lagi.

Ia selepas Kerajaan Negeri bersetuju membaik pulih pagar di belakang rumah panjang berkenaan bagi mengelak berlakunya lagi kejadian tanah runtuh di kawasan tersebut.

Jumlah kos projek yang telah diluluskan berjumlah RM100,000 dan dijangka siap dalam masa empat bulan.

Upacara Penyerahan Tapak Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP), peruntukan Kerajaan Negeri Sarawak bagi projek berkenaan telah disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing baru-baru ini.

Penduduk rumah panjang ketika ditemui amat berterima kasih di atas keprihatinan Datuk Ding dan berharap dengan siapnya pembinaan pagar di bahagian belakang rumah panjang itu dapat mengelak berlakunya lagi kejadian tanah runtuh di situ.