SELANGAU: Sebahagian projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) sedang giat dilaksanakan untuk Rumah Rantai dan Rumah Entri, Bukit Keladan di Jalan MukahSelangau.

Adun Tamin Ir Christopher Gira Sambang ketika dihubungi berkata, projek fasa kedua itu untuk kawasan Selangau akan membekalkan elektrik 24 jam kepada 21 rumah panjang (413 pintu).

Menurutnya lagi, kos pelaksanaan itu melibatkan perbelanjaan sebanyak RM14.738 juta dan akan siap pada Mac 2021.

Sementara itu ujarnya, projek fasa kedua bagi kawasan Sekuau untuk 16 rumah panjang (211 pintu) dengan kos RM12.42 juta dan bagi kawasan Balingian untuk 23 rumah panjang (394 pintu) dengan kos RM7.08 juta juga sedang dilaksanakan.

“Mohon semua yang terlibat termasuk SEB, kontraktor dan penduduk setempat memberikan kerjasama supaya projek ini berjalan dengan lancar dan siap mengikut jadual.

“Menjadi keutamaan Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk menaik taraf kehidupan penduduk luar bandar melalui projek sebegini,” tegasnya lagi.

Beliau berkata, lebih banyak lagi BELB akan dilaksanakan di kawasannya pada masa akan datang.

“BELB merupakan usaha Kerajaan GPS untuk membantu penduduk luar bandar menikmati bekalan elektrik 24 jam.

“Saya amat yakin dengan inisiatif Kerajaan GPS ini. Lebih banyak lagi kawasan pedalaman akan menikmati BELB ini yang dibiayai oleh Kerajaan Sarawak untuk penduduk luar bandar khususnya di kawasan Dun Tamin ini pada masa akan datang.

“Sokongan padu rakyat khususnya di kawasan luar bandar amat diperlukan bagi menjamin BELB ini terus dilaksanakan di Sarawak khasnya di kawasan luar bandar pada masa akan datang,” tambah Gira lagi.