Sukacita dimaklumkan bahawa YBhg. Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor
dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaya (UM) yang baharu berkuat kuasa
mulai 1 November 2020 hingga 31 Oktober 2023.

Pelantikan ini dibuat selepas Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor Universiti
Awam bersidang dan membuat penilaian terhadap calon-calon pada 5 Oktober 2020
lalu.

YBhg. Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd Hamdi, 49 tahun berkelulusan Ijazah Sarjana Muda
Kejuruteraan (Mekanikal) dari Imperial College, London, England; Master of Science
in Advanced Manufacturing Technology & System Management dari University of
Manchester Institute Science and Technology, United Kingdom dan Ijazah Doktor
Falsafah (PhD), Doctor of Engineering on Thin Film Coating for Biomedical
Applications dari Kyoto University, Jepun.

YBhg. Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd Hamdi akan menggantikan YBhg. Datuk Ir. (Dr) Abdul
Rahim Hj. Hashim yang akan tamat kontrak pada 31 Oktober 2020.

Beliau telah berkhidmat sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM) selama hampir dua (2) tahun selain memegang jawatan pentadbiran dan
akademik yang lain seperti Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan
Antarabangsa), Universiti Malaya.

Kementerian percaya dengan pelantikan ini, YBhg. Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd Hamdi
dapat meneruskan kesinambungan pencapaian dan sumbangan beliau dalam
mengekalkan pencapaian dan kegemilangan Universiti Malaya sebagai universiti
penyelidikan terkemuka di negara ini.

Kementerian ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih
kepada YBhg. Datuk Ir. (Dr.) Abdul Rahim Hj. Hashim atas segala sumbangan dan
kepimpinan beliau selama ini sehingga UM dinobatkan sebagai di antara universiti
terbaik dunia.