KUCHING: Seramai 40 penerima terdiri daripada OKU, pesakit kronik dan insan yang memerlukan, menerima bantuan melalui dalam Program Jalinan Kasih anjuran Persatuan Segu Bunuk bersama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen 198 Puncak Borneo Khamis lalu.

Bantuan tersebut berbentuk makanan, kerusi roda, tongkat, katil boleh laras dan barangan keperluan pesakit.

Dalam kenyataan media pada Khamis, Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin mengingatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung agar lebih peka terhadap penduduk yang memerlukan bantuan.

Menurut beliau, menjadi tanggungjawab pemimpin membantu golongan memerlukan, dan bantuan dapat disegerakan selagi JKKK menyalurkan maklumat kepada kerajaan.

Willie turut memberitahu, permohonan Projek Jalan Kampung dan Projek Pemasang Lampu Jalan perlu disegerakan dengan memohon melalui Pejabat Pusat Khidmat Rakyat bagi diajukan kepada kementerian berkaitan.

Berkaitan liputan internet, Willie memaklumkan isu itu diselesaikan melalui projek Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dan dilaksanakan awal 2021.