SELANGAU: Sebuah Pusat Pengumpulan, Pemprosesan, dan Pembungkusan Produk Pertanian (CPPC) akan ditubuhkan di kawasan Selangau ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata dengan adanya CPPC ini membolehkan petani mengumpul hasil pertanian, memproses dan membungkus produk yang dihasilkan sebelum dipasarkan di dalam dan luar negara.

“Saya akan berbincang dengan Pegawai Daerah berkaitan dengan penubuhan sebuah pusat pengumpulan, pemprosesan, dan pembungkusan produk pertanian di daerah Selangau ini.

“Tempat ini akan dijadikan pusat pemprosesan seperti cili sos dan halia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian AgriCOP Siri 3 di Rumah Anas, Kuala Arip, Sungai Arip, Selangau pada Rabu.

Selain itu, petani juga digalakkan menggunakan teknologi dan cara baru bagi meningkatkan hasil pertanian, contohnya penanaman halia secara fertigasi yang mampu meningkatkan hasil tanaman tersebut sehingga 5 kg dalam satu pokok berbanding kaedah biasa 2 kg.

Datuk Amar Douglas Unggah turut memperuntukkan tambahan sebanyak RM1 juta untuk Agriculture Facilitation Fund (AFF) di kawasan ini memandang terdapat banyak permohonan berkaitan tanaman rumbia, kelulut,  ternakan babi dan lain-lain.

Dalam majlis yang sama, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga merupakan Menteri Kewangan Ke II, Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak turut meminta penduduk di kawasan Daerah Selangau terus menyokong kepimpinan yang sedia ada dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam membangunkan negeri ini.

“Sokonglah GPS kerana inilah parti yang menjaga dan membangunkan Sarawak dan membawa banyak projek di negeri ini,” ujarnya.

Pada majlis itu, beliau telah mengumumkan projek menaik taraf jalan menuju ke Rumah Anas sebanyak RM500,000.

Datuk Amar Douglas Uggah turut menyaksikan penyerahan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM120,500 yang disampaikan Senator Dr. Nuing Jeluing kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bawang dan JKKK di Daerah Selangau.

Hadir sama Ahli Dewan Negara Senator Dr Nuing Jeluing dan Senator Rita Sarimah, Ketua Bahagian Pengembangan, Jabatan Pertanian Sarawak Ronald Ripid, Ketua Bahagian Tanaman, Jabatan Pertanian Sarawak Dominic Chunggat Pengurus Besar SALCRA Joseph Blandoi dan Pegawai Daerah Selangau Inting Nyami.