KABONG: Sambutan Maulidur Rasul dalam norma baharu dengan tema ‘Ummah Rabbani, Negara Harmoni’ berlangsung dalam keadaan cukup sederhana dan patuh prosedur operasi standard ( SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini pagi tadi.

ADUN Kabong, Mohd.Chee Kadir dan isteri Meryani Haji Yasin hadir bersama semasa masjlis sambutan yang berlangsung di Masjid Assabirin.

Ekoran situasi semasa negara yang kini sedang bergelut dengan ancaman pandemik Covid-19, skala sambutan pada tahun ini disederhanakan dan semua yang hadir perlu memakai pelitup separuh muka dan juga perlu mengimbas suhu badan serta mencatat nama di buku kehadiran ketika memasuki kawasan masjid.

Hadir sama Pegawai Daerah Kabong, Rashdan Haji Hazemi, Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kabong (LAKIK), Haji Olen Tabor dan Pengerusi Pengurusan Masjid, Johar Haji Bidin.

Tiada perarakan sepanduk membabitkan orang ramai dilangsungkan pada tahun ini sebagaimana sambutan pada tahun-tahun sebelumnya.

Dalam ucapan perasmian sambutan, Chee mengingatkan yang hadir supaya waspada dengan ancaman Covid-19 dan tidak mengambil ringan bahaya wabak tersebut yang telah membunuh ribuan nyawa di seluruh dunia.

Chee berharap masyarakat setempat akan sama-sama memainkan peranan bagi mengelakan berlakunya penularan wabak dalam kawasan ini.

Kerjasama semua kata Chee amat diperlukan bagi memastikan kawasan Kabong kekal hijau dan kekal selamat daripada Covid-19.

Tambah Chee, sambutan pada tahun ini meskipun secara keciil-kecilan namun ianya membawa makna yang cukup besar dalam meraikan peristiwa bersejarah kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Turut diselitkan dalam majlis sambutan kali ini adalah acara cukur jambul bagi beberapa orang bayi dan anak-anak penduduk di sini selepas selesai majlis berzikir.