KUCHING: Sarawak hari ini merekodkan 10 kes positif Covid-19 yang menunjukkan penurunan selepas mencatatkan 27 kes semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, dengan 10 kes terbabit, ia menjadikan keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak kepada 856 kes.

“Daripada 10 kes hari ini, terdapat satu kes dikesan secara aktif melalui jangkitan tempatan yang melibatkan seorang wanita warganegara tempatan yang bekerja di sebuah pusat kecantikan di kawasan perniagaan di Galacity, Kuching.

“Sementara itu, terdapat tiga kes baharu dikesan daripada kluster Baki iaitu merupakan ahli keluarga kepada kes ke-768 dan kes ke- 775 yang berumur dalam lingkungan 12 hingga 20 tahun,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri menambah, terdapat empat kes baharu dikesan melibatkan kluster Green Hill.

“Kluster Green Hill ini melibatkan dua kontak rapat kepada kes ke-818 yang berumur dua tahun dan 58 tahun.

“Dua lagi adalah kontak sosial kepada kes dalam kluster ini berumur 20 dan 26 tahun,” jelasnya.

Katanya lagi, dua lagi kes adalah jangkitan dari luar negara yang melibatkan wanita warganegara Indonesia.

“Mereka tiba dari Kalimantan Barat, Indonesia melalui kebenaran di bawah Pendekatan Pelancongan Perubatan (Medical Tourism).

“Kes ini adalah pesakit dan pengiring yang mendapat kebenaran masuk untuk mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Kuching,” ujarnya.