KUALA LUMPUR: Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) secara dalam talian atau ‘e-Census’ yang dilaksanakan sejak 7 Julai hingga 26 Okt lepas merekodkan sekitar 4.5 juta penduduk atau 13.4 peratus daripada 32.7 juta rakyat Malaysia yang telah dibanci.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata antara negeri yang merekodkan bancian tertinggi ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya, Perak dan Selangor manakala Sabah serta negeri di Pantai Timur masih berada di jajaran bawah daripada 10 peratus.

“Penerimaan (banci) pada hari ini lebih kurang 50,000 tetapi unjuran kita adalah sekitar 80,000 hingga 90,000 penerimaan harian supaya kita boleh capai 40 hingga 50 peratus penerimaan e-Census ini,” katanya ketika ditemu bual dalam program Ruang Bicara Bernama TV bertajuk Banci 2020: Norma Baharu malam tadi.

Beliau berkata antara kekangan pelaksanaan e-Census yang disuarakan masyarakat ialah penerimaan kod pengisian dan soalan yang dianggap tidak relevan bagi sesetengah pihak.

“Macam isu kesukaran mendapatkan kod pengisian, apa yang kita lakukan di Jabatan Perangkaan ialah kita telah senaraikan seluruh tempat kediaman di Malaysia iaitu sembilan juta tetapi apabila sistem menerima maklumat dari segi alamat yang diisi, proses padanan itu mengambil masa sehingga tiga hari kerana apa yang ada dalam sistem dan apa yang diisi orang ramai adalah berbeza.

“Jadi apa yang kita lakukan ialah anggota di lapangan atau di negeri akan bantu orang ramai dengan adakan klinik e-Census bersama komuniti Rukun Tetangga dengan bergerak secara menyeluruh sebelum ini tetapi kini kita bergerak hanya di zon hijau melihat kepada penularan kes COVID-19,” katanya seperti dipetik Bernama.

Mohd Uzir juga berkata soalan yang dikemukakan dalam Banci 2020 bukanlah daripada Jabatan Perangkaan Malaysia sebaliknya adalah daripada pelbagai kementerian, agensi dan pihak swasta yang memerlukan maklumat untuk pelaksanaan dasar awam serta perancangan pembangunan negara.

“Jika dibandingkan pada tahun 2010, soalan hanya 50 sahaja (namun) kali ini, sebanyak 108 soalan, soalan banci ini bukan untuk orang tertentu tetapi ia adalah menyeluruh untuk 32.7 juta rakyat Malaysia, mungkin ada soalan yang tidak relevan untuk sesetengah penduduk di bandar, misalnya mengenai kemudahan elektrik, air, pengangkutan dan sebagainya.

“Tetapi untuk penduduk di luar bandar, ia mungkin bermakna kerana dari situlah kerajaan dapat tambah baik dan tahu ke mana peruntukan kerajaan dapat disalurkan… mungkin ini perlu diterangkan dan dikemukakan di media sosial,” katanya.

Mengulas fasa kedua banci yang dijadualkan semula pada 20 Jan depan berikutan penularan Covid-19, Mohd Uzir berkata ia akan dilaksanakan selepas mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

“Fasa kedua, iaitu secara bersemuka, sebelum ini dirancang pada 7 hingga 24 Okt tetapi telah dijadual semula… kita harap jika tiada halangan, kita akan bergerak pada 20 Jan depan tetapi pada masa sama, apa juga keputusan dan apa yang perlu dilaksanakan, penekanan kita lebih kepada aspek keselamatan dalam suasana norma baharu termasuk mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan,” katanya.