MIRI: Projek bangunan tambahan Hospital Miri, dibina menggunakan kaedah sistem binaan berindustri (IBS) untuk mempercepatkan tempoh pembinaan dan kebergantungan kepada tenaga kerja.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sehubungan itu, pada 11 Jun lalu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia melalui jadual pelaksanaan projek komited dengan menyerahkan surat setuju terima kepada kontraktor, serta tarikh milik tapak pada 25 Jun lalu.

Menurutnya, mesyuarat pra pembinaan turut dilaksanakan di peringkat cawangan kerja kesihatan dan pasukan projek khas II, di Ibu Pejabat JKR Malaysia yang dilantik untuk melestarikan perancangan pelaksanaan projek, dengan semua pihak berkepentingan yang terlibat pada 23 Jun lalu.

“Sementara itu, JKR juga akan melaksanakan penyeliaan dan pemantauan secara menyeluruh dan sistematik melalui sistem kawalan dan lapor (SKALA), dan sistem pengurusan bersepadu JKR yang melibatkan sistem pengurusan kualiti (SPK) ISO 9,001:2015, skim pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (SPKKP), ISO 45,01:2018 dan sistem pengurusan alam sekitar (MS ISO 14,001:2015),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa majlis perasmian pecah tanah bagi projek pembinaan bangunan tambahan Hospital Miri, di sini hari Selasa.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Hadir sama, Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Sri Dr Adham Baba, Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato’ Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sebastian Ting dan ahli kenamaan yang lain.

Fadillah berkata, skop projek ini adalah membina Hospital 328 katil dengan jadual penginapan (SOA) terkini seluas 32,507 meter persegi, untuk Hospital Miri.

Beliau turut menggesa JKR dan Lembaga Pembangunan Industri Binaan (CIDB) untuk berganding bahu di bawah Kementerian Kerja Raya dalam menghasilkan satu sistem penarafan hijau untuk sesebuah bangunan.

“Sistem yang dihasilkan ialah Alat Pengurangan Karbon Malaysia dan Kelestarian Alam Sekitar (MyCREST) yang menggabungkan impak kelestarian dengan indikator karbon dalam sesebuah bangunan,” katanya sambil menambah, Hospital Miri tidak terkecuali daripada pematuhan ini.

Justeru, beliau berharap agar projek ini dapat disiapkan mengikut jadual, kos dan standard yang ditetapkan.

Setakat ini, katanya, terdapat 79 projek hospital dan klinik kesihatan yang menggunakan reka bentuk pelan pra diluluskan (PAP) masih dalam proses pembinaan.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 43 projek hospital dan klinik kesihatan PAP siap dan diserahkan kepada pelanggan, manakala 63 projek masih dalam prapembinaan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Dato’ Sri Dr Adham Baba dalam ucapannya berkata, bangunan tambahan ini diluluskan oleh Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri untuk dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

“Pembinaan bangunan ini melibatkan jumlah RM340 juta yang dijangka siap pada penghujung tahun 2023,” katanya sambil menambah, ia dapat mengurangkan kesesakan pesakit, khasnya pesakit di kawasan utara Sarawak.

Katanya, bangunan tambahan Hospital Miri ini bukti komitmen dan hasrat kerajaan menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berteraskan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau berkata, di bawah RMK-12, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi fokus untuk menaik taraf fasiliti dan kemudahan sedia ada untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan, di negara ini.

Melalui pendekatan tersebut, beliau yakin dapat mewujudkan masyarakat yang sihat dan cergas, sekali gus dapat membantu dalam menambah baik sosio ekonomi setempat.