TANJUNG MANIS: Seramai 50 orang peserta menghadiri Majlis Perasmian Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) Kuala Rajang anjuran bersama Jabatan Pertanian Daerah Daro, Pertubuhan Peladang Kawasan Daro dan Pusat Khidmat N.41 Kuala Rajang Selasa.

Program yang diadakan di Dewan Masyarakat Jerijeh telah dirasmikan oleh Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh.

Program AgriCOP bertujuan memberikan pendedahan langsung kepada golongan penternak dan petani mengenai teknologi penternakan dan juga pertanian yang terkini.

Dalam ucapannya, Datu Len berkata pelbagai bantuan dan kemudahan berasaskan pertanian disediakan bagi memastikan petani dan penternak dapat meningkatkan lagi pengeluaran dan kualiti tanaman mereka.

Datu Len turut menyampaikan replika cek bernilai RM325,500 untuk Bantuan Musim Tengkujuh Nelayan (BMTN) dan juga Bantuan Input Peralatan Perikanan Nelayan (BIPPN) berjumlah RM636,000 yang akan diberikan dalam bentuk input perikanan.

Sebanyak 217 peserta akan menerima BMTN dan 160 orang peserta yang telah sedia ada akan menerima BIPPN termasuk 158 orang penerima BIPPN tambahan.

Turut hadir dalam majlis program tersebut Pegawai Penguasa Jabatan Pertanian Daerah Daro Rafiza Jumaaton Abu Bakar, Pegawai Daerah Tanjung Manis Udin Bujang, Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan Matu Daro dan juga Penghulu Kampung Jerijeh Rosli Mat.