DALAT: Peranan Lembaga Pembangunan Industri Rumbia Sarawak diharap dapat membantu pekebun kecil rumbia terutamanya dalam mengawal harga pasaran tanaman tersebut.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, sehingga kini harga pasaran rumbia masih ditentukan oleh pihak pengilang.

“Selain bertanggungjawab membangunkan industri rumbia di negeri Sarawak, kita juga berharap lembaga ini dapat membantu pekebun kecil khususnya dalam mengawal harga rumbia.

“Harga rumbia sehingga ke hari ini masih ditentukan oleh pihak pengilang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada UKAS selepas mewakili Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah merasmikan Majlis Penangguhan Agriculture Community Outreach Programme (AgricoCOP) di Stadium Perpaduan Dalat, Mukah pada Selasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu menambah, beliau optimis industri rumbia mampu diperluaskan dan akan meningkatkan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) negeri selain melonjak pendapatan pekebun kecil.

“Kita akan membangunkan industri rumbia termasuk mengambil kira pembangunan industri hulu dan hiliran.

“Ini akan meningkatkan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) negeri selain melonjakkan lagi pendapatan pekebun kecil,” katanya.

Dato Sri Fatimah juga berkata, penanaman rumbia lebih banyak di bahagian Mukah berbanding di kawasan lain negeri ini dengan 50 peratus daripada jumlah pengeluaran produk berasaskan rumbia adalah dari Dalat.

Pada majlis tersebut seramai 491 penerima telah menerima bantuan Input Projek Peningkatan Produktiviti Tanaman Rumbia Tahun 2020 N.56 Dalat dengan nilai keseluruhan RM 1,473,000.

Selain itu, seramai 62 orang nelayan sungai turut menerima Bantuan Input Peralatan Perikanan Nelayan (BIPPN) berjumlah RM 124,000 manakala Bantuan Musim Tengkujuh Nelayan (BMTN) berjumlah RM 141,000 diserahkan kepada 64 orang nelayan sungai dan laut diikuti 10 orang peserta menerima bantuan RM200,000 untuk Projek Asas Akuakultur (PAA) Ternakan Ikan Dalam Tangki, bantuan RM80,000 untuk empat peserta Projek Pemprosesan Sagu Agro (AFP), bantuan RM 202,000 untuk 23 orang peserta Projek Pemprosesan Makanan, Sulaman dan Jahitan Agro Makanan (AFP) dan seramai 12 orang peserta menerima bantuan input pertanian berjumlah RM60,000.