BEIJING: Pandemik Covid-19 ini menyukarkan golongan muda mencari pasangan mereka.

Ekoran itu seorang ibu mengatur pertemuan anak lelakinya yang berusia 25 tahun dengan gadis yang diharap menjadi menantunya.

Anak lelakinya amat teruja dan mengatur pertemuan pertama dengan gadis itu di sebuah restoran tempatan di wZhejiang.

Pada hari yang ditetapkan, lelaki itu terkejut apabila melihat gadis itu datang bersama 23 orang sanak-saudaranya.

Dia menjemput mereka makan bersama-sama dan lelaki tersebut yang menyangka mereka hanya akan berduaan, terpaksa akur dengan permintaan gadis itu.

Keluarga gadis itu pula tanpa segan silu meminta pelbagai jenis makanan dan minuman yang mahal.

Selesai sesi makan, lelaki itu diberikan bil berjumlah 19,800 Yuan (RM12,300).

Gara-gara tidak mempunyai duit yang cukup untuk membayar bil tersebut lelaki itu menyelinap keluar dari restoran terbabit dan pulang ke rumahnya tanpa membuat sebarang bayaran.

Sebaik sahaja menyedari lelaki itu menghilangkan diri, gadis itu cuba menghubunginya tetapi panggilannya tidak dijawab.

Akhirnya gadis itu sendiri yang terpaksa membayar bil terbabit.

Apabila ditanya mengapa dia membawa anggota keluarganya bersama pada temu janji pertamanya, wanita itu memberitahu dia mahu menguji bakal teman lelakinya dan melihat sama ada dia sanggup membayar bil untuk anggota keluarganya dan dirinya.

Gadis itu turut mendakwa dia menjadi mangsa lelaki itu kerana akhirnya dia sendiri yang terpaksa membayar untuk mereka semua.

Namun komen ini mendapat respons berbeza warganet yang rata-ratanya berpendapat tindakannya membawa 23 orang anggota keluarganya pada temu janji pertama agak keterlaluan.