KUCHING: Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) merakamkan rasa takziah dan simpati atas insiden yang menimpa kapal penyelenggaraan pelantar ‘Dayang Topaz’ yang terlibat dalam insiden pelanggaran dengan Pelantar Minyak Baram B awal pagi semalam.

Kejadian itu berlaku berikutan cuaca buruk di lokasi kejadian kira-kira 7.7 batu nautika dari Kuala Baram, Miri. 

Sehingga setakat petang ini, dua mangsa dikenal pasti maut dan 185 anak kapal dan petugas pelantar dari ‘Dayang Topaz’ berjaya diselamatkan .

Menurut Ketua Pemuda Pas, Khairil Nizam Khirudin, insiden tersebut sangat terkesan pada dirinya kerana Kapal Penyelenggaraan Pelantar ‘Dayang Topaz’ dan juga Kompleks Pelantar Minyak Baram adalah antara empat yang pernah beliau melaksanakan tugasan di lapangan pada suatu ketika dahulu.

‘Insiden tersebut diklasifikasikan pada Tier 2 (Level 2) yang memerlukan sokongan di peringkat ‘Country and Region’untuk kerja-kerja pencarian dan menyelamat (SAR) melibatkan koordinasi oleh Maritime Rescue Control Centre (MRCC) berserta agensi-agensi berkenaan dengan bantuan sokongan daripada semua pihak serta dan aset-aset marin syarikat Minyak dan Gas yang berada berdekatan lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan. 

“Pelan tindakan berasaskan kepentingan mengikut turutan di mana menyelamatkan nyawa menjadi keutamaan – ‘Priority in order of importance PEAR (People , Environment, Asset and Reputation),” ujarnya.

Beliau berkata, pihak DPPM juga ingin merakamkan terima kasih atas tindakan segera dari semua pihak dalam manangani insiden ini.

Jelasnya, bidang pekerjaan di sektor huluan minyak dan gas adalah sangat berisiko tinggi terdedah kepada risiko bahaya hidrokarbon itu sendiri di tempat terasing di tengah lautan dan juga faktor cuaca yang mempengaruhi aktiviti pekerjaan logistik dan sokongan kepada pelantar minyak. 

“Lapangan-lapangan minyak khususnya di perairan Sabah dan Sarawak agak terdedah pada perubahan cuaca mendadak disebabkan titik tekanan rendah yang berubah-ubah semasa peralihan monsoon di samping terkena kesan dari laluan taufan di Utara Sabah pada ketika ini,” katanya lagi.

“Selain kepakaran dan amalan cara kerja yang selamat dengan tahap keselamatan yang tinggi untuk petugas pelantar, pengalaman juga memainkan peranan penting untuk memastikan kerja-kerja dapat dilaksanakan dan ‘survival’ dalam menghadapi risiko-risiko yang berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata, tenaga kerja di sektor huluan minyak dan gas yang rata-ratanya adalah dari kaum Melayu dan bumiputera wajar mendapat pengiktirafan dari kita rakyat Malaysia atas jasa mereka menjaga perbendaharaan negara dan menyumbang antara yang terbesar kepada KDNK negara.