MIRI: Memasuki era digital, Kerajaan Sarawak kini menggandakan usaha untuk memartabatkan pendidikan dalam kalangan generasi muda sebagai salah satu usaha menjadikan Sarawak sebagai negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, generasi muda pada masa kini perlu dilatih dan didedahkan dengan aplikasi teknologi supaya lebih bersedia menghadapi cabaran pada masa akan datang.

“Banyak orang memperkatakan sekiranya teknologi digunakan, orang tidak akan mempunyai pekerjaan sebab semuanya dibuat oleh mesin,

“Tetapi sebenarnya, penggunaan teknologi ini akan mencipta pekerjaan yang baharu kepada manusia,

“Justeru, para pelajar atau generasi muda ini mesti dilatih dan diberi pengetahuan.” katanya semasa menyampaikan ucapan dalam majlis perasmian bangunan RIAM TVET dan Bangunan Serbaguna RIAM di Miri, Selasa.

Ujarnya lagi, dengan peluasan penggunaan teknologi, institusi pendidikan di Sarawak digalak menggunakan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah seiring dengan trend global.

“Sekarang, semua menggunakan digital dan hanya dihujung jari,

“Perubahan yang berlaku di dunia masa kini, generasi muda perlu diberikan pendidikan yang seiring dengan trend ini supaya mereka boleh bekerja dan mendepani cabaran dalam kehidupan termasuklah teknologi.” jelasnya lagi.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Datuk Amar Micheal Manyin Jawong, Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew; Pengerusi Dewan Bersama Dewan Sekolah Menengah Jalan Riam, Tan Sri Datuk Yee Min Sing dan Dato Sri Law Kiu Kiong; serta Ketua Pegawai Operasi Sekolah Menengah Jalan Riam dan Institut Teknologi Riam, Dr. Pauline Ho.