MIRI: Kerajaan Sarawak mengambil inisiatif mewujudkan Sudut Bacaan Komuniti (SBK) di Kampung Long Latie bagi mengalakkan generasi Penan membudayakan amalan membaca.

Adun Telang Usan Dennis Ngau mengakui, budaya membaca bukan satu amalan masyarakat Penan yang kebanyakannya petani atau buruh.

“Saya mencadangkan sudut bacaan diadakan di kawasan Penan supaya kita dapat terus membantu meningkatkan pengetahuan dan ilmu komuniti Penan,” katanya pada Majlis Perasmian SBK Penan Kawasan Sungai Layun dan Belanah yang berpusat di Kampung Long Latie pada Isnin.

Dennis Ngau menambah, sudut bacaan itu yang pertama diadakan Dun Telang Usan dan lebih manis lagi kerana diwujudkan di sebuah kawasan perkampungan kaum minoriti Penan.

“Saya yakin usaha murni ini memberi banyak peluang bagi masyarakat dan komuniti Penan di Long Latie’ dan penduduk kampung berhampiran untuk mendapatkan pendidikan.

“Ilmu pengetahuan melalui tabiat membaca harus dipupuk seterusnya mendapat maklumat yang betul dari segala bahan yang disediakan,” katanya.

Kerajaan Sarawak melalui Pustaka Negeri menyediakan sudut bacaan itu bagi menyemarakkan minat membaca dalam kalangan masyarakat orang Ulu yang memang sedia maklum tidak gemar membaca dalam kehidupan mereka.

“Kerajaan Sarawak menggalakkan dan menyokong semua usaha memupuk budaya membaca untuk masyarakat,” ujarnya.

Dennis Ngau berkata, beberapa faktor masyarakat Penan kurang membaca antaranya kesukaran mendapat bahan bacaan, tiada lampu sesuai pada waktu malam dan cuma dapat membaca pada waktu siang.

“Di samping itu, tiada minat membaca untuk menambah ilmu sebab kehidupan berkisar sebagai petani atau buruh, keadaan itu menyebabkan komuniti Penan menjadi buta huruf.

“Ia antara usaha kerajaan memastikan setiap anggota masyarakat atau penduduk pedalaman seluruh negeri tidak ketinggalan dalam akses kepada ilmu,” katanya.

Jelas Dennis, semakin banyak kemudahan disediakan bagi menggalakkan komuniti itu mempraktikkan budaya membaca.

“Lebih banyak perkara yang akan mereka ketahui. Mereka akan menjadi lebih berilmu dan tidak lagi mudah dikelirukan oleh pihak yang bermotif jahat termasuk propaganda parti pembangkang,” tegasnya.

Malah kata Dennis, apabila generasi muda sudah menyemai semangat untuk membaca, mereka akan menjadi lebih bermotivasi lagi untuk terus mendapat ilmu pengetahuan dan menaikkan taraf serta kualiti kehidupan.

“Melalui program ini, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam usaha membangunkan budaya membaca dalam keluarga,” jelasnya.

Dennis menggesa agar rakyat serta komuniti di Long Latie’ dan penduduk kampung sekitar akan mengambil manfaat serta faedah membaca bagi kebaikan dan kepentingan semua.