KUCHING: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak siap siaga untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) setelah Yang DiPertuan Agong menolak cadangan melaksanakan perintah darurat.

Ketua Pergerakan itu, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, Majlis Tertinggi Wanita (MTW) PBB menyokong keputusan Yang DiPertuan Agong itu setelah berbincang dalam Mesyuarat Khas dengan Raja-Raja Melayu bahawa darurat tidak akan dilaksanakan.

Oleh itu katanya, persiapan menghadapi PRN akan terus diadakan sambil menggesa ahli-ahli supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Jentera Pergerakan Wanita telah diperkasakan melalui pelbagai program – Sarawak Kita Empun (SKE), Randau Wanita PBB, Ziarah dan mesyuarat Zoom bersama-sama ketua-ketua wanita dan sekarang sudah bersiap sedia untuk menghadapi PRN,” katanya dalam kenyataan media, Selasa.

Fatimah yang juga Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak berkata, Pergerakan Wanita PBB turut menyebarluaskan dasar Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan inisiatif Ketua Menteri serta kejayaan GPS dalam merancakkan pembangunan negeri terutama di luar bandar.

Lantaran itu katanya, rakyat digesa supaya menyokong GPS bagi memastikan hak Sarawak terus diutamakan, pembangunan infrastruktur diperkasakan, kestabilan politik, keamanan dan keharmonian dalam kalangan penduduk pelbagai kaum dan agama terus dimantapkan.

Seluruh jentera parti PBB (Induk, Wanita, Pemuda) harus terus bekerja keras supaya GPS dapat menang dengan majoriti besar, katanya.

“Kita memerlukan mandat besar daripada rakyat. Ini akan memastikan agenda pembangunan untuk membawa Sarawak menjadi negeri termaju di Malaysia menjelang tahun 2030 akan tercapai,” katanya.

MT Wanita PBB turut menzahirkan tahniah kepada jawatankuasa editorial buku ‘Wings of Change: The Wanita PBB Journey’ yang menggambarkan sejarah penglibatan dan perjuangan wanita dalam perkembangan PBB bermula dengan Kaum Ibu.

MT Wanita PBB juga telah menghasilkan naratif dan infografik, bahan persiapan pilihan raya untuk diagihkan kepada semua ketua wanita di 82 Cawangan.