ATLANTIC CITY: Rakaman kamera badan menunjukkan aksi seorang anggota polis menyelamatkan seorang pemuda dari terjun bangunan.

Insiden ini berlaku minggu lalu selepas polis menerima panggilan telefon daripada orang awam yang melihat seorang lelaki berdiri di belebas sebuah tempat parkir.

Eric Knuttel salah seorang anggota polis dari pasukan perunding krisis jabatan polis Atlantic City berkejar ke tempat kejadian sekitar 9 malam.

Ketika itu lelaki tersebut dilihat berkomunikasi dengan seseorang menggunakan aplikasi FaceTime dengan seseorang.

Knuttel dan rakan-rakannya cuba menenang dan memujuk lelaki tersebut yang dilihat terganggu secara emosi.

Selepas 10 minit berlalu, lelaki itu masih enggan turun, ketika lelaki itu leka bercakap, Knuttel tiba-tiba mendekatinya dan menerkam kakinya bagi mengelaknya dari terjun ke bawah.

Rakan-rakannya kemudian turut menyerbu dan memeluk lelaki itu dan menariknya turun dari belebas.

Dalam video tersebut kedengaran salah seorang polis memberitahu lelaki tersebut “Aku tak benarkan kerana aku sayang kamu, okey? Aku sayang kamu”.

Lelaki tersebut dibawa ke Pusat Perubatan wilayah AtlantiCare untuk tujuan evaluasi.

Jabatan Polis Atlantic City memuat naik video tersebut di media sosial dan memuji tindakan pantas Knuttel dan rakan-rakannya.