KUALA LUMPUR:  Tiada DAP, malahan tolak kerjasama dengan sesiapa sahaja yang menjalinkan kerjasama dengan parti itu.

Demikian pendirian Wanita Umno Malaysia dalam usaha untuk  terus memperkukuhkan Muafakat Nasional.

Selain itu Ketuanya Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, Wanita Umno menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa tiada keperluan untuk darurat diisytiharkan di negara ini.

“Selari dengan titah ini maka bersesuaianlah saranan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk melakukan gencatan politik dalam memberi ruang kepada pemimpin Kerajaan untuk memberi fokus kepada pelbagai cabaran yang sedang melanda negara ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

“Selain itu, dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), kita haruslah terus memperkukuhkan Muafakat Nasional kerana rakyat menerima baik kerjasama antara Umno dan Pas,  malah ini adalah satu pilihan baharu untuk rakyat bagi menyandarkan harapan agar suara mereka di bawa dengan baik,” ujar beliau lagi.

Sebelum ini, Wanita Umno Malaysia  menyatakan akan sentiasa komited dan teguh dengan keputusan parti iaitu tegas senada bersama keputusan mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno yang mempersetujui agar ‘no DAP’, tidak ada kerjasama dengan sesiapa yang ada hubungan dengan Dap dan terus memperkukuhkan Muafakat Nasional.

Wanita juga yakin dengan kebijaksanaan pucuk pimpinan dalam membawa hala tuju parti demi kepentingan rakyat sesuai dengan status parti keramat di negara ini.