KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Umno Malaysia, Shahril Hamdan berkata terdapat tiga rumusan utama yang  ditetapkan Majlis Kerja Tertinggi parti yang bermesyuarat malam tadi.

Antaranya mengikut beliau ialah menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Yang di-Pertuan Agong, mendukung Kerajaan Persekutuan yang ada hari ini dan perlu ada penambahbaikan hubungan antara parti.

Katanya lagi, menolak sebarang kerjasama bersama dengan DAP dan PKR terutama dalam mengangkat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sebagai Perdana Menteri.

“Tidak mendukung parti DAP dan DSAI jauh sekali mahu mengangkat mereka menjadi Perdana Menteri atau Kerajaan,” katanya melalui satu kenyataan di Facebooknya.

MKT  Umno  katanya, juga mengambil keputusan perlunya penambahbaikan dalam hubungan antara parti-parti dalam kerajaan berpaksikan keikhlasan, penghormatan dan pengiktirafan sewajarnya.

Malam tadi, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi parti memaklumkan bahawa ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno telah memutuskan beberapa perkara.

Antaranya adalah menjunjung kasih di atas keputusan KDYMM Yang di-Pertuan Agong menolak permohonan yang dipersembahkan oleh Perdana Menteri bagi maksud pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan.

Begitu juga mendukung sepenuhnya titah dan saranan KDYMM Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja agar dikendurkan segala ketegangan politik dengan melakukan gencatan politik bagi memastikan kestabilan politik negara dapat terus dipertahankan.

Selain itu, Umno juga menyarankan agar inisiatif Rekonsiliasi Nasional segera dilaksanakan dengan menggembleng penyertaan semua parti politik yang bernaung dalam Kerajaan Perikatan Nasional dan juga parti-parti pembangkang.

Berikutnya, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno juga mencadangkan supaya kerajaan mengambil pendekatan yang lebih inklusif melangkaui perbezaan ideologi parti dalam menangani pandemik Covid-19 dan kesan negatif ekonomi yang dihadapi rakyat yang sedang susah dan gelisah.

Seterusnya, mengekalkan keputusan terdahulu tanpa kerjasama PKR dan DAP. Ahli-ahli Parlimen Umno akan terus mendokong Kerajaan Perikatan Nasional. 

Umno menggesa ditambah baik prinsip kerjasama yang harus berpaksikan nilai penghormatan dan ‘political consensus’.

Ahmad Zahid  juga berkata parti akan memastikan ketetapan Perhimpunan Agung Umno untuk memperkasakan Muafakat Nasional dapat terus direalisasikan.