KOTA SAMARAHAN: Majlis daftar keluar’ sempena persaraan wajib Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi diadakan secara ringkas  di galeri  Koompassia Excela baru-baru ini.

Mohamad Kadim memulakan tugas sebagai Naib Canselor Unimas keenam pada 16 April 2013 dan akan bersara wajib dalam perkhidmatan awam pada hari ini.

Dalam ucapan ringkas, beliaui mengucapkan terima kasih dan rasa penghargaan dengan warga UNIMAS yang selama ini banyak membantu sepanjang perkhidmatan beliau di universiti ini.

Beliau turut berharap warga Unimas akan terus ‘teguh bersama’ dalam menjayakan visi dan misi Universiti seterusnya menyumbang dalam pembangunan anak-bangsa tercinta.

Dalam majlis itu, Naib Canselor turut menyampaikan sumbangan dari Yayasan Haji Suaidi dan Hajah Halimah untuk hadiah kecemerlangan akademik Fakulti Kejuruteraan sebanyak RM10,000, Anugerah Ikon Muzik dan Persembahan Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (RM2,000) manakala Kesatuan Kakitangan Am Unimas (KESAUMAS), Persatuan Pengurus UNIMAS (PPU), Tabung Endowment Universiti, Kelab Kebajikan Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer Utem, masing-masing menerima sebanyak RM5,000.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi  Lembaga Pengarah Unimas, Tan Sri Sulong Matjeraie.