SELANGAU: Kerajaan Sarawak sentiasa mengiktiraf dan mempertahankan hak rakyat ke atas Tanah Adat Bumiputera (NCR) mereka jika tuntutan tersebut adalah sahih mengikut perundangan.

Bagaimanapun, jelas Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, kaedah pengukuran tanah NCR ini telah mula dilaksanakan sejak tahun 1960an lagi melalui program-program seperti Operasi Penyelesaian, Pengukuran Bahagian III Kanun Tanah Negeri dan Pengukuran Kampung Tradisional didapati kurang efisien.

“Luas kawasan tanah NCR yang dapat disukat ialah 260,000 hektar ataupun 642,460 ekar. Dalam tempoh 50 tahun, secara purata cuma 5,200 hektar tanah NCR dapat diukur setahun.

“Jadi, Tanah Adat Bumiputera ini bukan sahaja terletak di kawasan Selangau dan Tamin, tetapi berselerak di seluruh negeri ini.

“Dan, saya telah beri keputusan supaya kita bantu semua pemilik tanah NCR daripada Kuching sampai ke Lawas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Warta Rizab Komunal Bumiputera Dibawah Seksyen 6 KTN dan Surat Hak Milik Tanah di Bawah Seksyen 18KTN Bagi Kawasan Selangau, Bahagian Sibu di Rumah Penghulu Surang, Nanga Tajam pada Ahad.

Setakat ini Jabatan Tanah dan Survei Sarawak telah pun berjaya menyukat secara perimeter seluas lebih kurang 943,926 hektar (2.332 juta ekar).

Daripada jumlah tersebut seluas 753,456 hektar atau 1.8 juta ekar telah pun diwartakan.

Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak menjelaskan pengukuran tanah hanya akan dijalankan setelah mendapat persetujuan dan sokongan penuntut tanah yang terlibat.

“Persetujuan dan sokongan ini perlu bagi memastikan kelancaran pengukuran secara perimeter.

“Hasilnya, Warta Rizab Komunal Bumiputera Dibawah Seksyen 6 KTN bagi Kawasan Ulu Selangau/Ulu Mukah dengan keluasan 25,476 hektar (62,952.6 ekar).

“Bagi kes yang masih dalam pertikaian dan perbicaraan di mahkamah, kerja pengukuran tidak akan dilaksanakan kecualilah kes tersebut telahpun diselesaikan atau ditarik balik oleh mereka yang terlibat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin Ir. Christhoper  Gira Sambang berkata, Kerajaan Sarawak telah meluluskan Projek Rakyat berjumlah RM75 juta semasa walkabout Ketua Menteri di Pekan Selangau pada Mei 2018.

“Projek Naik Taraf Jalan Pasai Siong dengan kos sebanyak RM17 juta, Projek Membina Waterfront Selangau dengan kos RM5 juta, Projek Membina Stadium Selangau sebanyak RM28 juta, Membina Baru Pejabat Daerah Selangau RM5 juta, Projek Naik Taraf Jalan Kemena/ Sungai Bawang RM2 juta dan membina Dewan SJK Tong Ah sebanyak RM500,000.

“Itulah antara Projek-Projek Rakyat yang diluluskan oleh Ketua Menteri dan sekarang kebanyakannya masih dalam pembinaan dan dijangka siap dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam pada Menying Takin yang merupakan salah seorang penerima Geran Tanah Seksyen 18 mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di atas kerja-kerja penyukatan tanah yang dilaksanakan ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan GPS yang telah menyukat tanah kami dan menerima Seksyen 18.

“Saya juga berpesan kepada semua penduduk supaya jangan membantah tanah yang dijalankan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, bagi Tuai Rumah Maran Entili dari Ulu Selangau Mukah yang menerima Warta Seksyen 6 berharap inisiatif penyukatan tanah Seksyen 6 ini diteruskan kepada rakyat.

“Kami berasa senang hati kerana Kerajaan Sarawak sudah memberikan Seksyen 6.

“Kami juga berharap Kerajaan Sarawak meneruskan inisiatif seperti ini dan selepas ini tanah mereka akan disukat dan mendapat geran di bawah Seksyen 18.

“Sekali lagi, kami mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak khususnya Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Jo dalam penyukatan tanah ini,” katanya.

Hadir sama Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Datuk Naroden Majais, Penolong Pengarah Tanah, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Unus Tambi, Residen Bahagian Sibu Charles Siaw, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Sibu Kiu Chiong Chong dan Pegawai Daerah Selangau Inting Nyami.